Tertiary Qualification Equivalency Assessment


Last Updated : 02 October 2019

Penilaian Kesetaraan Kelayakan Peringkat Tinggi



Pengenalan

Penilaian kesetaraan kelayakan adalah proses untuk menilai kelayakan peringkat tinggi (Sijil - PhD) dan memastikan kelayakan tersebut adalah setara dan selaras dengan Kerangka Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Framework, MQF).



Tujuan Penilaian

Tujuan penilaian ini ialah bagi membantu Pemberi Pendidikan Tinggi (PPT) yang berhasrat mengambil pelajar dengan kelayakan dari luar negara bagi kemasukan ke program pengajian yang lebih tinggi di Malaysia dan membantu pemohon untuk menilai taraf kelayakan bagi apa-apa tujuan yang berkaitan.

Selain itu, penilaian kesetaraan ini membantu PPT untuk mengenal pasti tahap program yang dianugerahkan oleh PPT atau mana-mana badan profesional atau badan persijilan sebelum kelayakan tersebut ditawarkan kepada pelajar.



Skop Penilaian

MQA menilai kesetaraan kelayakan pada peringkat tinggi Tahap 3 - 8 MQF bagi menentukan peringkat pengajian yang boleh dimohon oleh pemegang kelayakan.

MQA tidak membuat penilaian bagi:

  1. kesetaraan gred mata pelajaran; MQA tidak membuat perbandingan mata pelajaran bagi memenuhi syarat kelayakan masuk program tertentu.
  2. kesetaraan gred/skor/markah; PPT bertanggungjawab untuk mengkaji dan meneliti sistem gred/skor/markah sesuatu kelayakan bagi menyetarakan gred kelayakan tersebut dengan gred kelayakan di Malaysia.


Prinsip Kesetaraan Kelayakan

Proses penyetaraan kelayakan yang dibuat oleh MQA adalah membandingkan kelayakan dan tahap kerangka kelayakan di negara asal dengan tahap Kerangka Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Framework, MQF)

Penilaian kesetaraan kelayakan luar negara adalah berpandukan kepada prinsip berikut:

  1. Tahap kelayakan adalah peringkat tinggi iaitu selepas menamatkan peringkat menengah dan memasuki pengajian tinggi di negara asal.
  2. Kelayakan telah disahkan oleh badan autoriti jaminan kualiti di negara asal pemohon.
  3. Kesetaraan kelayakan dibandingkan dengan tahap 3 - 8 MQF.



Prosedur Permohonan Kesetaraan Kelayakan

Permohonan boleh dikemukakan berdasarkan kategori berikut:


    1.   Permohonan oleh PPT

    PPT yang berhasrat untuk menawarkan kelayakan/program dari badan professional atau badan persijilan dari dalam dan luar negara boleh mengemukakan permohonan kesetaraan kelayakan sebelum ianya ditawarkan kepada pelajar.

    Permohonan perlu disertakan dengan dokumen berikut:

    • Borang NT 02
    • Dokumen COPPA MQA.01
    • Sampel bahan penilaian
    • Contoh skrol atau sijil yang dianugerahkan
    • Pengesahan kesetaraan kelayakan mengikut kerangka kelayakan di negara asal (sekiranya ada)
    • Fee permohonan berjumlah RM1050 dalam bentuk bank deraf atas nama Agensi Kelayakan Malaysia.


    2.   Permohonan oleh individu/PPT

    Individu yang berhasrat untuk melanjutkan pengajian atau PPT yang berhasrat untuk membuat pengambilan pelajar boleh mengemukakan kesetaraan kelayakan terdahulu sebelum masuk ke program yang lebih tinggi.

    Permohonan perlu disertakan dengan dokumen berikut:
    • Borang NT 03
    • Skrol dan transkrip kelayakan
    • Sijil kelayakan peringkat menengah
    • Silibus kelayakan (sekiranya perlu)
    • Pengesahan kesetaraan kelayakan mengikut kerangka kelayakan di negara asal (sekiranya ada)
    • Fee permohonan berjumlah RM1050 dalam bentuk bank deraf atas nama Agensi Kelayakan Malaysia.