AQAN saran trend hantar sambung belajar di negara Barat ditukar ke Asia

Last Updated : 03 June 2022


CYBERJAYA: ASEAN Quality Assurance Network (AQAN) menyarankan negara ahlinya supaya lebih agresif mempromosikan pengajian tinggi negara masing-masing bagi menarik minat lebih ramai pelajar antarabangsa menyambung pengajian ke rantau ini.

Presidennya, Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, sudah tiba masanya trend ibu bapa menghantar anak untuk belajar di negara Barat bertukar ke Asia terutama di Asia Tenggara.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) berkata, bagi membolehkan hasrat itu dicapai, AQAN telah merangka Pelan Strategik 2020-2025 yang berteraskan lima tema iaitu matlamat menyeluruh, promosi /perwakilan, Kerangka Jaminan Kualiti ASEAN (AQAF), ulasan agensi dan pembangunan kapasiti.

“Dua perkara utama perlu diberi penekanan iaitu matlamat menyeluruh dan promosi yang menuntut kerjasama erat dalam kalangan negara ahli AQAN.

“Untuk masa depan, Rangkaian Pegawai Jaminan Kualiti Muda ASEAN (AYQON) yang bernaung di bawah AQAN akan menjadi pelapis untuk memastikan kualiti pendidikan tinggi kita berada setaraf dengan negara maju,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Webinar AYQON 2022: Amalan jaminan kualiti semasa pandemik Covid-19: Cabaran, penyesuaian dan langkah ke hadapan, di sini, baru-baru ini.

Webinar yang dikendalikan oleh National University of Battambang (NUBB), Kemboja itu turut dihadiri Rektor NUBB, Sok Khorn; Penasihat AYCON, Profesor Zita Mohd Fahmi dan Encik Ekaphong Lauhathiansind serta Presiden AYCON, Tep Neavea.

Sempena webinar itu, Ketua Penilaian dan Pensijilan bagi Bahagian Institusi Pengajian Tinggi, Pejabat Standard Pendidikan Kebangsaan dan Penilaian Kualiti Thailand, Dr Suchaya Sangcharoon; Setiausaha, Lembaga Eksekutif Badan Akreditasi Nasional Perguruan Tinggi, Indonesia, Dr Tjokorde Walmiki Samadhi serta Ketua Unit Hal Ehwal Awam dan Antarabangsa, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Encik Muhammad Hasfarizal Kamaludin membentangkan perspektif agensi masing-masing mengenai amalan jaminan kualiti semasa pandemik Covid-19.





Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar ketika menyampaikan ucaptama pada Webinar AYQON 2022, baru-baru ini.



Peserta Webinar AYQON 2022 yang terdiri daripada pemimpin muda jaminan kualiti dari negara ASEAN.