Transformasi kejayaan fizikal kepada hakiki

Last Updated : 05 July 2022


CYBERJAYA: Di samping mengejar kejayaan fizikal, jangan pernah sesekali lupa kepada kejayaan hakiki kerana itulah yang akan memberikan definisi sebenar sebuah kejayaan dalam kehidupan kita.

Demikian pesanan Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2021 dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri MQA, baru-baru ini.

Beliau berkata, walaupun kejayaan hakiki itu tidak boleh dilihat dan ukur, tapi percayalah hanya mereka yang benar-benar memahaminya akan dapat menikmati kejayaan itu.

Katanya, Antara kejayaan hakiki yang dimaksudkan ialah ketenangan hidup, kegembiraan, keceriaan, keseronokan untuk bekerja dan melaksanakan tugas serta tanggungjawab yang diamanahkan.

"Bagi mencapai kejayaan hakiki, sama-samalah kita mengaplikasikan tip dan formula yang diunjurkan oleh agama dan pakar sosial terkemuka.

"Pertama, marilah kita secara rahsia mendoakan rakan lain, kedua, sentiasa bersyukur dan tidak sekali-kali merungut dengan tugas yang diamanahkan dan ketiga jangan mudah berputusa asa," katanya.

Pada Majlis APC 2021, seramai 27 kakitangan MQA menerima anugerah berdasarkan prestasi cemerlang dalam perkhidmatan sepanjang tahun 2021.

Datuk Mohammad Shatar, berkata dengan kombinasi tiga formula itu, Insya-Allah, warga MQA bukan hanya akan menjadi pekerja yang berjaya, malah insan yang cemerlang untuk dunia dan akhirat.

"Kejayaan fizikal tidak akan bermakna sekiranya kita tidak menggunakan untuk menggapai kejayaan hakiki, justeru marilah sama-sama kita berhijrah dengan memanfaatkan kejayaan fizikal untuk menikmati kejayaan hakiki," katanya.