
CYBERJAYA: Selepas dilantik sebagai Menteri Pendidikan Tinggi, Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin membuat lawatan rasmi ke Mercu MQA bagi mendengar taklimat daripada pengurusan tertinggi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
Sesi taklimat itu bertujuan menerangkan perkembangan semasa MQA yang berperanan melaksanakan Kerangka Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Framework, MQF) sebagai landasan sistem jaminan kualiti pengajian tinggi dan titik rujukan kriteria dan standard kelayakan kebangsaan.
Menteri menyatakan agar MQA terus meneroka langkah yang lebih berkesan dan memperkukuh peranannya demi mengarusperdanakan pendidikan tinggi negara.
Hadir sama ketika lawatan itu, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Mohd Yusof Apdal; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Ybhg. Dato' Seri Abdul Razak Jaafar; Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), YBhg. Prof. Datuk Dr. Husaini Omar, Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Ybhg. Prof. Dato' Dr. Mohammad Shatar Sabran serta pengurusan kanan MQA.


