Hari Keluarga MQA manifestasi semangat Malaysia Madani

Last Updated : 12 May 2023


SERDANG: Hari Keluarga Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) yang dihadiri kira-kira 200 kakitangan dan ahli keluarga warga MQA manifestasi kepada konsep Malaysia Madani.

Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof. Dato' Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, konsep Malaysia Madani yang diperkenalkan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim ialah usaha mengemudi serta mengangkat semula martabat dan kegemilangan negara di persada dunia.

Katanya, Hari Keluarga MQA diraikan dengan ciri-ciri berteraskan enam perkara dalam Konsep Malaysia Madani iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.

"Malaysia Madani bertunjangkan sikap saling menghormati, meraikan kepelbagaian dan menjadi medan dialog peradaban dan itulah yang sentiasa diterapkan dalam kalangan warga MQA," katanya selepas merasmikan majlis berkenaan yang diadakan di Astana Putra Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Jaminan Kualiti) MQA, Prof. Ir. Dr. Khairul Salleh Mohamed Sahari; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan), Puan Halinordina Mat Saat, Pengarah-Pengarah Kanan, Pengarah-Pengarah Bahagian, Ketua-Ketua Unit dan warga MQA bersama-sama keluarga masing-masing.

Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan sepanjang majlis tersebut untuk disertai oleh warga MQA, ahli keluarga dan anak-anak. Tetamu juga dihiburkan dengan persembahan hebat di samping menikmati juadah enak yang disediakan.

Hari Keluarga ini disokong oleh Kelab Sukan MQA, PUSPANITA MQA dan MBJ MQA. Semoga ukhuwah silaturahim yang terjalin utuh dalam kalangan warga MQA dan keluarga akan berkekalan.