Complaint FAQs

Last Updated : 22 November 2019
Bahasa Melayu Version :
Soalan Lazim Aduan

SOALAN-SOALAN LAZIM MENGENAI ADUAN DI AGENSI KELAYAKAN MALAYSIA (MQA)

1) Apa yang boleh diadukan kepada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA)?

Pelbagai perkara yang berkaitan dengan fungsi MQA boleh diadukan. Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut:

  1. Kesalahan di bawah Akta Agensi Kelayakan Malaysia 2007 (Akta 679)
    Kesalahan-kesalahan yang termaktub dalam Akta MQA adalah seperti berikut:
    • Mendaftar pelajar bagi program yang didakwa diakredit tetapi tidak diakredit oleh MQA.
    • Mengiklankan program yang tidak diakredit sebagai program diakredit oleh MQA.
    • Menganugerahkan apa-apa kelayakan pendidikan tinggi yang didakwa sebagai mematuhi Kerangka Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Frameworks, MQF) tetapi sebenarnya tidak diakredit oleh MQA.
    • Membuat apa-apa pernyataan yang diketahuinya adalah palsu, atau yang dia tidak percaya adalah benar, atau dengan sengaja menyembunyikan apa-apa fakta yang material, atau memberikan apa-apa maklumat yang mengelirukan semasa memohon perakuan akreditasi atau akreditasi sementara.
    • Pemberi Pendidikan Tinggi (PPT) tidak mempamerkan perakuan akreditasi MQA di premis.
    • PPT tidak menyerahkan perakuan kepada MQA bagi program yang telah terhenti.
    • PPT tidak menyerahkan perakuan kepada MQA bagi program yang telah dibatalkan akreditasi.

  2. Kualiti Program dan Pemberi Pendidikan Tinggi (PPT)
    Pengadu boleh mengadu tentang kualiti program pengajian yang sedang ditawarkan oleh PPT ataupun mengadu tentang kelemahan tadbir urus PPT seperti kelayakan staf akademik, kemudahan makmal, asrama, pengangkutan, bilik kuliah dan kelemahan-kelemahan lain berkaitan pengajaran dan pembelajaran atau sistem sokongan. Pengadu dinasihatkan untuk mengemukakan bukti telah memanjangkan aduan berkaitan kepada Hal Ehwal Pelajar, Majlis Perwakilan Pelajar PPT atau mana-mana pihak bertanggungjawab di PPT tersebut dan tiada tindakan diambil oleh pihak-pihak berkenaan sebelum memajukannya kepada MQA. Walau bagaimanapun, sekiranya perkara yang diadukan serius, sangat menjejaskan kualiti penawaran program dan berskala besar, pengadu boleh melaporkannya terus kepada MQA.

  3. Perkhidmatan MQA
    Pengadu boleh mengadu mengenai perkhidmatan yang disediakan oleh MQA termasuklah mengenai kompetensi pegawai MQA dan Ahli Panel Penilai (APP) MQA.

  4. Portal MQA
    Pengadu boleh memberikan kritikan dan cadangan penambahbaikan bagi memperkemaskan lagi portal MQA.

  5. Salah laku pegawai MQA (Polisi Whistleblowing MQA)
    Di bawah Polisi Whistleblowing MQA, pengadu boleh membuat aduan mengenai salah laku pegawai MQA atau pihak-pihak yang dilantik oleh MQA untuk melaksanakan sesuatu tugas seperti Ahli Panel Penilai (APP) dan Ahli Majlis MQA.

    Perkara-perkara yang boleh diadukan di bawah polisi ini adalah seperti berikut:
    • Rasuah atau penipuan;
    • Kesalahan jenayah;
    • Salah guna wang atau harta MQA;
    • Kesilapan pengurusan yang melampau dalam MQA;
    • Ketirisan kewangan yang serius;
    • Gangguan seksual;
    • Kesalahan tata tertib;
    • Perkhidmatan MQA;
    • Kelakuan yang menimbulkan bahaya besar kepada kakitangan MQA, orang awam atau persekitaran; dan
    • Mengarahkan atau menasihati seseorang untuk melakukan kesalahan-kesalahan di atas.

2) Bagaimanakah cara untuk membuat aduan?

Aduan boleh dibuat dengan menggunakan saluran-saluran berikut:

4) Bolehkah aduan dibuat bagi pihak orang lain?

Boleh. Walau bagaimanapun, pengadu perlu memaklumkan hubungannya dengan pihak tersebut dan mendapatkan keizinan daripadanya. Pengadu perlu membekalkan maklumat peribadi termasuk nama, nombor kad pengenalan, alamat dan nombor telefon untuk memudahkan urusan.

5) Adakah semua aduan berkenaan pendidikan tinggi boleh dirujuk kepada MQA?

Hanya aduan yang berkaitan fungsi MQA sahaja boleh dirujuk kepada MQA. Fungsi MQA adalah seperti berikut:

  • Melaksanakan Kerangka Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Framework (MQF)) sebagai titik rujukan kelayakan Malaysia;
  • Membangunkan kriteria dan standard sebagai rujukan kebangsaan bagi penganugerahan kelayakan dengan kerjasama pelbagai pihak berkepentingan;
  • Menjamin kualiti institusi-institusi pengajian tinggi dan program-program;
  • Memberi perakuan akreditasi kepada program-program yang memenuhi kriteria dan standard yang ditetapkan;
  • Memudahcara pengiktirafan dan penyetaraan kelayakan; dan
  • Mengendalikan Daftar Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Register, MQR)

6) Apa yang perlu disertakan dalam aduan kepada MQA?

  • Pengadu perlu membekalkan maklumat-maklumat peribadi termasuk nama, alamat, emel dan nombor telefon untuk membolehkan MQA melaporkan perkembangan siasatan.
  • Pengadu perlu menjelaskan butiran aduan bagi membolehkan MQA melakukan siasatan lengkap. Maklumat-maklumat yang biasanya diperlukan adalah seperti nama program, nama PPT, nama staf akademik dan tarikh perkara yang diadukan berlaku. Pengadu juga perlu menyertakan salinan bukti seperti surat, dokumen dan gambar-gambar bagi membantu MQA memulakan siasatan.

7) Apakah tindakan yang akan diambil oleh MQA dalam memproses sesuatu aduan?

MQA akan menyiasat mengenai aduan yang diterima dan mengambil tindakan-tindakan berikut:

  1. Penerimaan aduan
    • MQA akan menghantar emel/surat akuan terima kepada pengadu dengan segera; atau
    • Sekiranya MQA tidak dapat menerima aduan tersebut atas sebab-sebab tertentu, MQA akan menjelaskannya kepada pengadu.

  2. Analisis aduan
    • MQA akan menganalisis aduan yang dibuat.

  3. Verifikasi Aduan
    MQA akan mengesahkan butiran aduan melalui tindakan-tindakan berikut:
    • Meminta penjelasan daripada pihak-pihak yang mempunyai maklumat mengenai aduan yang dibuat termasuklah pihak PPT; dan/atau
    • Mengadakan pemeriksaan di premis PPT bagi mendapatkan bukti-bukti berkenaan aduan.

  4. Tindakan kepada pihak yang diadukan

    i.   Sekiranya siasatan MQA mendapati terdapat kesalahan dilakukan di bawah Akta Agensi Kelayakan Malaysia (Akta 679), pihak MQA akan menyediakan kertas siasatan dan menyerahkan kertas siasatan yang telah dilengkapkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk tindakan kompaun atau pendakwaan; atau

    ii.   Sekiranya siasatan mendapati terdapat kesalahan yang dilakukan bukan kesalahan yang membawa kepada kompaun atau pendakwaan, MQA akan mengambil tindakan-tindakan berikut:
    •   Pembatalan Akreditasi jika terdapat perlanggaran syarat perkauan akreditasi atau ketidakpatuhan kepada Kerangka kelayakan Malaysia (MQF); atau
    •   Teguran bertulis; atau
    •   Tindakan-tindakan lain yang bersesuaian

    iii.   Pengadu akan diberitahu perkembangan siasatan dari semasa ke semasa.

8) Berapa lama masa yang diambil oleh MQA dalam melakukan siasatan?

Tempoh siasatan bergantung kepada tahap kompleksiti aduan. Walau bagaimanapun, secara puratanya aduan-aduan yang diterima akan diselesaikan dalam tempoh tidak melebihi 4 bulan dari tarikh mula siasatan. Aduan-aduan yang memerlukan siasatan yang terperinci dan pemeriksaan di premis PPT akan mengambil masa yang lebih lama. Pengadu akan sentiasa dimaklumkan mengenai perkembangan siasatan.

9) Adakah maklumat diri pengadu akan dirahsiakan?

MQA akan merahsiakan maklumat diri pengadu dari pihak-pihak yang tidak berkenaan. Manakala khusus bagi aduan di bawah Polisi Whistleblowing MQA, maklumat diri pengadu tidak akan didedahkan kepada mana-mana pihak kecuali pegawai yang menerima aduan.