FAQs: About MQA

Last Updated : 02 October 2019
Bahasa Melayu Version :
Mengenai MQA

1) Apakah perbezaan antara akreditasi di bawah Lembaga Akreditasi Negara (LAN) dan akreditasi di bawah Agensi Kelayakan Malaysia (MQA)?

Proses akreditasi LAN dan MQA berbeza dari aspek pematuhan Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF). Akreditasi oleh MQA mensyaratkan setiap program yang dinilai mematuhi MQF. Aspek ini tidak diambil kira semasa LAN kerana pada waktu itu MQF belum diperkenalkan. Untuk maklumat lanjut mengenai MQF, sila klik di sini.

2) Bagaimana akreditasi MQA dapat memastikan pematuhan MQF?

Akreditasi MQA dapat memastikan program pengajian tinggi yang ditawarkan di Malaysia mematuhi MQF melalui semakan sembilan aspek utama proses pengajaran dan pembelajaran di Pemberi Pengajian Tinggi (PPT). Sembilan proses ini diterangkan dengan lebih lanjut dalam dokumen-dokumen jaminan kualiti berikut:

  1. COPPA
  2. COPIA
  3. Standard Program
  4. Garis Panduan Amalan Baik

3) Adakah sistem akreditasi MQA merupakan penilaian one off atau berterusan?

Sistem akreditasi MQA adalah merupakan satu proses berterusan yang melibatkan tiga fasa penilaian berikut:

  1. proses pertama dikenali sebagai akreditasi sementara yang dilaksanakan sebelum sesuatu program di tawarkan. Ia dinilai berdasarkan kemantapan kurikulum yang dibangunkan dan perancangan pengendalian program. Ia disifatkan sebagai candidancy evaluation;
  2. proses kedua adalah akreditasi penuh yang dijalankan apabila cohort pertama pelajar berada di tahun atau semester akhir pengajian. Proses ini dilaksanakan bagi menyemak pematuhan MQF dan standard-standard pendidikan yang ditetapkan berdasarkan kepada bukti-bukti pengendalian sebenar program;
  3. proses ketiga pula adalah audit pematuhan akreditasi yang dilaksanakan sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh lima tahun (bergantung kepada keperluan bidang pengajian selagi mana program tersebut mengekalkan akreditasinya).

Untuk maklumat lanjut mengenai proses akreditasi, sila rujuk di sini.

4) Apakah perbezaan di antara kelulusan Kementerian Pengajian Tinggi (KPM) dengan Akreditasi MQA?

Pada prinsipnya, pihak KPM mempertimbangkan kelulusan sesuatu pengajian berdasarkan pengesahan kualiti yang dilaksanakan oleh MQA melalui proses akreditasi.

Akreditasi sementara diambil kira oleh KPM bagi mempertimbangkan permohonan kelulusan daripada Pemberi Pengajian Tinggi (PPT) untuk menawarkan program baru.

Akreditasi dan pengekalan status akreditasi merupakan salah satu syarat bagi PPT memperbaharui kelulusan program daripada KPM.

Dalam waktu yang sama, pertimbangan KPM terhadap permohonan kelulusan program berkenaan turut mengambil kira syarat-syarat lain yang ditetapkan di bawah Akta IPTS 555.

5) Siapakah yang terlibat di dalam penilaian Akreditasi MQA dan siapakah yang mengesahkan hasil penilaian tersebut?

Bagi memenuhi standard antarabangsa, penilaian MQA melibatkan panel pakar dalam bidang program pengajian. Laporan yang disediakan oleh panel pakar akan diselaras oleh seorang pengerusi panel. Laporan yang telah dimuktamadkan kemudiannya akan dibentangkan di Mesyuarat Jawatankuasa Akreditasi (MJA) untuk memuktamadkan keputusan akreditasi.

Penilaian akreditasi bagi program professional adalah dijalankan oleh badan professional yang berkenaan.

6) Sekiranya permohonan Akreditasi ditolak, bolehkah rayuan dibuat?

Boleh. PPT boleh membuat rayuan secara bertulis kepada YB Menteri Pengajian Tinggi dalam tempoh 30 hari dari tarikh surat keputusan akreditasi diterima.

Bagi program profesional pula, PPT boleh membuat rayuan secara bertulis kepada Jawatankuasa Rayuan dalam tempoh 30 hari dari tarikh surat keputusan akreditasi diterima.

7) Bagaimana hendak menyemak senarai program pengajian yang telah mendapat Akreditasi MQA?

Semakan program pengajian yang telah diakredit MQA boleh dibuat secara atas talian di Daftar Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Register, MQR).

Semakan boleh dirujuk di sini.

8) Berapa lamakah tempoh sah laku Akreditasi MQA?

Tempoh sah laku bagi program pengajian dan kelayakan yang diakredit di bawah Akta MQA 2007 (berkuat kuasa pada 1 November 2007) adalah bersifat "berterusan" (perpetual) bermula daripada tarikh program tersebut diakredit.

Sekiranya akreditasi sesuatu program ditarik balik, tarikh penamatan akan dinyatakan dalam MQR. Tempoh sah laku bagi program profesional adalah ditentukan oleh badan profesional yang berkenaan.

9) Apakah perbezaan antara Akreditasi dan Pengiktirafan?

Akreditasi merupakan satu bentuk pengesahan kualiti terhadap sesuatu program pengajian berdasarkan kepada standard-standard akademik.

Pengikitirafan pula bermaksud penerimaan satu-satu kelayakan oleh pihak-pihak tertentu bagi tujuan tertentu. Tujuan ini boleh dalam bentuk pengambilan pekerja, pemberian bantuan-bantuan pendidikan, peluang melanjutkan pengajian, amalan professional dan sebagainya. Adalah menjadi kelaziman akreditasi MQA menjadi salah satu perkara yang diambil kira oleh pihak-pihak ini. Contoh-contoh pengiktirafan dengan tujuan khusus adalah seperti berikut:

  1. Pengiktirafan bagi menyertai perkhidmatan awam oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)
  2. Pengekalan kelulusan terhadap program oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPM)
  3. Peluang mendapatkan pinjaman pengajian yang dikendalikan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)

10) Adakah pihak MQA menjalankan penilaian ke atas Pemberi Pengajian Tinggi (PPT) di luar negara?

Operasi penilaian akreditasi MQA masih tertumpu kepada program pengajian di Malaysia. Kebanyakan negara telah mempunyai badan-badan jaminan kualiti mereka sendiri dan sebarang maklumat berkaitan kualiti pengajian tinggi negara terbabit boleh dirujuk kepada badan-badan ini.

11) Apakah yang terjadi kepada Akreditasi yang diberikan semasa LAN?

Program yang telah mendapat Akreditasi di bawah LAN adalah terpakai dalam beberapa keadaan berikut:

  1. Program-program yang ditawarkan masih berstatus akreditasi sehingga tamat tempoh sah laku yang ditetapkan.
  2. Graduan-graduan yang dikeluarkan dalam tempoh sah laku akreditasi tersebut dianggap sebagai graduan akreditasi walaupun kemudiannya program tersebut tidak lagi dijalankan atau akreditasinya telah tamat.

12) Apakah kepentingan akreditasi MQA?

  1. Untuk tujuan pembaharuan kelulusan pengendalian program
  2. Pengiktirafan Perkhidmatan Awam
  3. Dijamin kualiti program pengajian

13) Apakah kepentingan Akreditasi Sementara?

  1. Memastikan sama ada sesuatu program itu telah menepati keperluan kualiti minimum sebelum dianugerahkan Akreditasi Penuh
  2. Untuk melayakkan sesuatu program mendapat kelulusan pengendalian program dari Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) sebelum boleh ditawarkan kepada pelajar
  3. Tajaan pendidikan

14) Apakah faedah akreditasi kepada pelajar?

  1. Pengiktirafan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam bagi tujuan pelantikan pertama sektor awam
  2. Pengiktirafan oleh badan profesional bagi tujuan amalan profesional
  3. Pembiayaan pengajian oleh badan-badan penaja seperti PTPTN/MARA
  4. Melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi
  5. Memudahkan pemindahan kredit
  6. Pengeluaran KWSP/PERKESO

15) Kenapa ada dua akreditasi (akreditasi sementara dan akreditasi penuh)?

Terdapat dua peringkat penilaian dalam jaminan kualiti ini iaitu:

Akreditasi Sementara – merupakan satu aktiviti penilaian untuk memastikan sama ada sesuatu program itu telah menepati keperluan kualiti minimum sebelum dianugerahkan Akreditasi Penuh.

Akreditasi Penuh - merupakan satu aktiviti penilaian untuk memastikan bahawa kegiatan pengajaran, pembelajaran dan semua aktiviti lain yang berkaitan dengan sesuatu program yang ditawarkan oleh sesebuah Pemberi Pendidikan Tinggi (PPT) telah menepati standard kualiti dan mematuhi Kerangka Kelayakan Malaysia.

16) Apa implikasi kepada pelajar sekiranya program ditolak Akreditasi Penuh atau program tiada akreditasi?

Pada umumnya, banyak kelebihan bagi program yang mendapat akreditasi. Perkara ini penting kerana program pengajian yang diperakukan oleh MQA dan badan-badan autoriti memiliki kelebihan tersendiri seperti peluang penajaan dari badan-badan penaja, peluang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi terkemuka dengan pindahan kredit, memudahkan graduan mencari pekerjaan dan pertimbangan untuk berkhidmat di sektor awam serta institusi berpeluang membuat francais program yang diakreditasi di institusi lain.

Oleh demikian, kelayakan akademik yang belum mendapat akreditasi akan menghadapi cabaran dalam menyayingi kemudahan yang dinikmati oleh program yang telah diakredit. Sebagai contoh, kesukaran pelajar untuk menyambung pelajar ke peringkat lebih tinggi dan memohon pekerjaan.

17) Apakah kriteria yang ditetapkan dalam penilaian akreditasi?

Kriteria penilaian akreditasi MQA adalah seperti berikut:
  1. Pembangunan dan Penyampaian Program;
  2. Penilaian pelajar;
  3. Pemilihan dan khidmat sokongan pelajar;
  4. Staf akademik;
  5. Sumber pendidikan;
  6. Pengurusan Program; dan
  7. Pemantauan, semakan dan penambahbaikan kualiti berterusan program.

18) Bolehkah sesuatu permohonan akreditasi gagal penilaian?

Ya, sekiranya program tersebut tidak mematuhi dasar, kriteria dan standard yang ditetapkan.

19) Bagaimanakah cara pihak berkepentingan menyemak status sesuatu kelayakan

Pihak berkepentingan disarankan untuk menyemak status kelayakan akademik di:

  1. Portal Daftar Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Register, MQR) di www2.mqa.gov.my/mqr bagi senarai akreditasi penuh;
  2. Portal Akreditasi Sementara di www2.mqa.gov.my/pasp; dan
  3. Sistem Pengiktirafan Kelayakan Perkhidmatan Awam (eSisraf) di www2.mqa.gov.my/esisraf

Namun demikian, untuk membuat pengesahan seseorang calon memiliki kelayakan tertentu, ia perlu disemak dengan institusi yang terlibat.

20) Bagaimana MQA memantau penawaran program yang tiada akreditasi?

Sekiranya anda mendapat maklumat berkenaan PPT yang mengiklan program yang tiada akreditasi tetapi mendakwa ada akreditasi, aduan boleh diajukan kepada MQA.

MQA mendapat maklumat bahawa terdapat PPT yang menggunakan iklan yang mengelirukan bagi menarik pelajar untuk mendaftar di PPT mereka. Pelbagai kaedah digunakan termasuk menawarkan janji-janji manis yang ada antaranya tidak ditunaikan selepas pelajar mendaftar. Dalam hal ini, MQA ingin menasihatkan pelajar-pelajar untuk menyemak terlebih dahulu kesahihan dakwaan - dakwaan atau janji manis PPT tersebut. Semakan boleh dibuat dengan MQA sekiranya PPT mendakwa program mereka diakredit oleh MQA tetapi sebenarnya tidak diakredit kerana ia adalah satu kesalahan di bawah Akta MQA.

Oleh itu, jika anda mempunyai maklumat tentang iklan-iklan yang tidak bertanggungjawab atau maklumat mengenai kesalahan-kesalahan lain, anda boleh membuat aduan kepada MQA melalui saluran e-mel kepada aduan@mqa.gov.my atau Sistem Pengurusan Pertanyaan dan Aduan (SPPA). MQA memberi jaminan kepada bakal-bakal pengadu bahawa nama anda akan dirahsiakan.

21) Apakah tindakan yang perlu diambil oleh pelajar yang telah tamat belajar dan mendapati program mereka tidak diiktiraf/tiada akreditasi?

Dalam hal ini, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) menasihatkan pelajar, ibu bapa dan badan penaja untuk membuat semakan terlebih dahulu dan mengesahkan status akreditasi atau jaminan kualiti program yang ditawarkan oleh universiti tempatan atau asing kerana kualiti pendidikan tinggi adalah penting bagi memudahcara penerimaan dan pengiktirafan pelbagai pihak. Seharusnya maklumat-maklumat ini dirujuk terlebih dahulu sebelum rakyat Malaysia mendaftar diri di dalam atau luar negara. Untuk itu, kerajaan telah menubuhkan sistem akreditasi melalui MQA dan badan profesional serta pengawalseliaan yang lain. Setiap negara mempunyai sistem akreditasi dan jaminan kualiti dengan penyiaran maklumat yang boleh diakses oleh orang ramai.

Dalam pada itu, setiap negara mempunyai peraturan dan ketetapan akreditasi atau jaminan kualiti yang berbeza dan tersendiri. Justeru, adalah penting untuk merujuk kepada badan berkuasa sesebuah negara yang berkaitan bagi mendapatkan maklumat yang tepat. Dalam keadaan di mana kelayakan diperoleh melalui kaedah pembelajaran namun ia tidak diakredit oleh pihak berautoriti, individu tersebut masih mempunyai ijazah atau sijil tersebut tetapi kualitinya tidak dapat disahkan.

Justeru itu, pengesahan akreditasi adalah penting mengambil kira jumlah pelaburan dan kos yang besar bagi mereka mengikuti sesuatu pengajian.

Program yang tidak diiktiraf, pelajar masih boleh sambung belajar bergantung pada kelulusan senat PPT tetapi tidak dibenarkan untuk membuat pindah kredit.

22) Bagaimana hendak membuat aduan?

Sebarang aduan boleh disalurkan melalui Sistem Pengurusan Pertanyaan dan Aduan (SPPA) di http://www2.mqa.gov.my/sppav2/.

23) Mengapa sesuatu program tiada akreditasi?

Terdapat beberapa sebab mengepa sesuatu program tiada akreditasi iaitu:

  1. PPT tidak memohon penilaian Akreditasi kepada MQA
  2. Permohonan masih dalam proses penilaian
  3. Gagal permohonan

24) Bolehkah keperluan lulus mata pelajaran Matematik peringkat SPM digantikan dengan kursus Matematik peringkat Diploma untuk kemasukan ke program Sarjana Muda?

Syarat lulus Matematik pada peringkat SPM boleh dikecualikan jika kelayakan lebih tinggi yang dimiliki oleh pelajar mengandungi mata pelajaran Matematik dan pencapaiannya setara/lebih daripada keperluan mata pelajaran tersebut pada peringkat SPM.

25) Adakah pindah kredit boleh dilakukan dari program yang ditolak Akreditasi Penuh?

Pindah kredit boleh dipertimbangkan kerana program tersebut mempunyai status Akreditasi Sementara.

26) Apakah beza in-formal learning dan non-formal learning?

In-formal learning

  1. Pembelajaran secara berterusan sepanjang hidup serta pengalaman kerja.
  2. Biasanya pembelajaran secara tidak disengajakan.
Contoh : pengalaman kerja, penglibatan kerja sosial/persatuan, hobi

Non-formal learning
  1. Berlaku selari dengan sistem pendidikan dan latihan yang utama.
  2. Boleh dinilai tetapi lazimnya tidak akan menjurus kepada pensijilan yang formal.
Contoh : kursus-kursus pendek yang dihadiri, MOOC

27) Bagaimana hendak menyemak program yang diiktiraf oleh kerajaan Malaysia bagi tujuan permohonan biasiswa?

Maklumat boleh dirujuk oleh pihak awam secara dalam talian melalui:

  1. Portal Daftar Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Register, MQR) di www2.mqa.gov.my/mqr bagi senarai akreditasi penuh;
  2. Portal Akreditasi Sementara di www2.mqa.gov.my/pasp; dan
  3. Sistem Pengiktirafan Kelayakan Perkhidmatan Awam (eSisraf) di www2.mqa.gov.my/esisraf

Ketiga-tiga senarai ini boleh dirujuk di laman web MQA.

28) Apakah peranan MQA berhubung sesuatu pengiktirafan kelayakan di negara ini?

Dalam mengekang penawaran program yang tidak berkualiti, MQA melaksanakan akreditasi dan sistem menyemak penawaran program oleh PPT tempatan secara berterusan.

Maklumat-maklumat akreditasi ini boleh dirujuk oleh pihak awam secara dalam talian melalui portal Daftar Kelayakan Malaysia (MQR) di www2.mqa.gov.my/mqr bagi senarai akreditasi penuh, keduanya senarai akreditasi sementara di www2.mqa.gov.my/pasp; dan Sistem Pengiktirafan Kelayakan Perkhidmatan Awam (eSisraf) di www2.mqa.gov.my/esisraf
Ketiga-tiga senarai ini boleh dirujuk di laman web MQA.

Sekiranya melibatkan program luar negara, semakan boleh dibuat dengan pihak berkuasa negara terlibat. Sekiranya ia berkaitan pengesahan ketulenan penganugerahan, pendekatan terbaik adalah merujuk terus kepada institusi yang menganugerahkannya.

Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Unit Pengiktirafan dan Kelayakan Perkhidmatan Awam MQA (e-mel : esisraf@mqa.gov.my).

29) Apakah kriteria yang membolehkan lepasan sesebuah institusi pendidikan dari dalam dan luar negara diiktiraf oleh MQA?

Dalam hal ini, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) menasihatkan pelajar, ibu bapa dan badan penaja untuk membuat semakan dan mengesahkan status akreditasi atau jaminan kualiti program yang ditawarkan oleh universiti tempatan atau asing kerana kualiti pendidikan tinggi adalah penting bagi memudahcara penerimaan dan pengiktirafan pelbagai pihak. Seharusnya maklumat-maklumat ini dirujuk terlebih dahulu sebelum rakyat Malaysia mendaftar diri di dalam atau luar negara. Untuk itu, kerajaan telah menubuhkan sistem akreditasi melalui MQA dan badan profesional serta pengawalseliaan yang lain. Setiap negara mempunyai sistem akreditasi dan jaminan kualiti dengan penyiaran maklumat yang boleh diakses oleh orang ramai.

Dalam pada itu, setiap negara mempunyai peraturan dan ketetapan akreditasi atau jaminan kualiti yang berbeza dan tersendiri. Justeru, adalah penting untuk merujuk kepada badan berkuasa sesebuah negara yang berkaitan bagi mendapatkan maklumat yang tepat. Dalam keadaan di mana kelayakan diperoleh melalui kaedah pembelajaran namun ia tidak diakredit oleh pihak berautoriti, individu tersebut masih mempunyai ijazah atau sijil tersebut tetapi kualitinya tidak dapat disahkan.

Justeru itu, pengesahan akreditasi adalah penting mengambil kira jumlah pelaburan dan kos yang besar bagi mereka mengikuti sesuatu pengajian

30) MQA mempunyai data terkini universiti atau PPT yang diiktiraf oleh MQA?

Senarai program yang mendapat akreditasi dan iktiraf oleh kerajaan boleh diperoleh dengan menyemak di portal Daftar Kelayakan Malaysia (MQR) di www2.mqa.gov.my/mqr bagi senarai akreditasi penuh, keduanya senarai akreditasi sementara di www2.mqa.gov.my/pasp; dan Sistem Pengiktirafan Kelayakan Perkhidmatan Awam (eSisraf) di www2.mqa.gov.my/esisraf

Senarai ini sentiasa dikemaskini dari semasa ke semasa secara berterusan.

MICRO-CREDENTIAL



32) Apa yang dimaksudkan dengan program micro-credential?

Program micro-credential secara amnya ialah suatu program pembelajaran yang bertujuan untuk mengiktiraf peningkatan kepakaran dan kompetensi spesifik individu terutamanya kepada individu bekerja untuk meningkatkan kemahiran spesifik dalam tempoh yang singkat dan menutup jurang kemahiran (skills gap) dan kebanyakannya diakses menerusi platform portal pembelajaran dalam talian.

Didefinisikan sebagai pengesahan digital pembelajaran yang diperolehi dari kursus pendek, modul atau unit sama ada secara free standing atau dari program akademik (mata pelajaran berkredit).

33) Apakah kategori program micro-credential?

Micro-credential boleh dikategorikan kepada dua iaitu:

  1. Micro-credential yang berbentuk continuous professional development (CPD) yang tidak membawa kepada penganugerahan kelayakan formal dibawah pembelajaran non-formal dan tidak terikat dengan keperluan kelayakan akademik formal seperti aspek syarat kelayakan masuk, pencapaian hasil pembelajaran dan dasar-dasar penawaran program akademik semasa; dan
  2. Micro-credential yang membawa kepada kelayakan akademik formal. – Guidelines to Good Practice (GGP) sedang dalam pembangunan.

34) Apakah kepentingan micro-credential ini?

Program micro-credential ini penting bagi menyokong pembelajaran sepanjang hayat, peningkatan kemahiran, meluaskan akses ke pendidikan tinggi dan sebagai kelayakan alternatif.

35) Apakah kriteria dalam membangunkan micro-credential?

Pembangunan micro-credential perlu berasaskan beberapa kriteria iaitu outcomed-based, personalised, industry driven, secure and shareable dan telus.

36) Bagaimanakah institusi dapat menguruskan micro-credential dengan berkesan?

Pengurusan micro-credential yang berkesan adalah dengan mewujudkan Sistem Pengurusan Kualiti (Quality Management System, QMS) yang merangkumi aspek pengurusan dan kelulusan bagi pembangunan, reka bentuk, penyampaian, penilaian, pemantauan, kajian semula dan penambahbaikan program micro-credential.

37) Adakah pelaksanaan micro-credential ini perlu melalui proses penilaian MQA?

Institusi boleh secara sukarela memohon kepada MQA untuk menilai program micro-credential dari segi penawaran, pemindahan kredit dan sistem jaminan kualiti.

38) Apakah kelebihan micro-credential ini kepada individu?

Micro-credential akan diiktiraf menerusi pemindahan kredit dari program yang diakreditasi (tertakluk kepada maksimum yang dibenarkan di bawah Garis Panduan Pemindahan Kredit untuk MOOCs) dan juga APEL C sehingga 30% daripada program yang akan diikuti.

Oleh yang demikian, penawaran program micro-credential perlu berdasarkan Outcome Based Education (OBE). Penggunaan OBE yang merangkumi Student Learning Time (SLT) dan pentaksiran akan memudahkan elemen pemindahan kredit.

39) Apakah usaha MQA dalam membangunkan dokumen panduan pelaksanaan micro-credential ini.

Pembangunan dokumen Panduan Pelaksanaan Program Micro-credential ini akan dilakukan secara dua fasa iaitu:

Fasa 1: program micro-credential yang berbentuk CPD yang tidak membawa kepada penganugerahan kelayakan formal.

Fasa 2: program micro-credential yang membawa kepada kelayakan akademik formal selepas pandangan kolektif daripada pelbagai pihak berkepentingan dan penjajaran dasar dilakukan.

Sebagai makluman, dokumen Panduan Pelaksanaan Program MICRO-CREDENTIAL juga telah dibentangkan dan diambil maklum oleh Mesyuarat Majlis MQA Bil. 1/2019 pada 28 Mac 2019 yang lalu.

MQA telah mengeluarkan Surat Makluman Bil 2/2019 berkenaan Panduan Pelaksanaan Micro-credential pada 6 Mei 2019 kepada PPT.

40) Bagaimana pelaksanaan program? Adakah boleh dibuat melalui kaedah online?

Program micro-credential boleh dibuat secara online atau konvensional. PPT juga dinasihatkan untuk mempunyai sistem pengurusan kualti yang baik dan sistem digital yang memuaskan.

41) Adakah perlu sijil micro-credential ini memaparkan sama ada ia adalah Certificate of Attendance atau Certificate of Achievement?

Jika ada penilaian dibuat, pelajar boleh diberikan Certificate of Achievement. Jika tiada penilaian, Certificate of Attendance memadai.