MQA lancar cogan kata baharu, siar di iklan papan luar

Tarikh Kemaskini: 20 Julai 2022


CYBERJAYA: Selaras dengan agenda Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan global, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) melancarkan cogan kata baharu, 'Pendidikan Tinggi Berkualiti Global'.

Pelancaran cogan kata itu disempurnakan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad pada majlis pelancaran Portal Micro-Credentials MQA, baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Seri Abdul Razak Jaafar; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Datuk Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Dr Mohd Zabri Yusoff; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Datuk Dr. Husaini Omar; Pengerusi Majlis MQA, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran.

Cogan kata baharu itu turut akan digunakan dalam semua platform komunikasinya seperti surat-menyurat, e-mel, laman sosial dan pelbagai hebahan lain.

Slogan MQA itu turut diuar-diuarkan menerusi papan iklan luar di dua lokasi strategik iaitu berhampiran Plaza Tol KLIA, ELITE dan KM28 dari persimpangan Putrajaya menuju ke persimpangan KLIA.