MQA lancar Portal Micro-credential

Tarikh Kemaskini: 20 Julai 2022
Versi Bahasa Inggeris :
MQA lancar Portal Micro-credential

Datuk Seri Dr Noraini merasmikan Portal Micro-credentials di Mercu MQA.


CYBERJAYA: Dalam usaha mempromosi pendidikan fleksibel sebagai satu daripada teras utama bagi mendukung agenda pembelajaran sepanjang hayat (PSH), Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) melancarkan Portal Micro-credentials.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata portal itu akan menjadi pusat sehenti dan sumber rujukan utama kepada pelajar serta calon pelajar tempatan mahu pun antarabangsa bagi mendapatkan maklumat mengenai program Micro-credentials yang ditawarkan oleh institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia.

Katanya, portal berkenaan akan memperkukuh ekosistem PSH yang mana inisiatif bukan hanya ditumpukan kepada perluasan akses, malah menekankan aspek kualiti bagi maksud memudah cara pengiktirafan kepada pelajar.

"Diharap lebih banyak program yang diakreditasi akan dipecah kecil, seterusnya disenaraikan dalam portal ini untuk rujukan semua pihak," katanya ketika berucap merasmikan Portal Micro-credentials di Mercu MQA, di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Seri Abdul Razak Jaafar; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Datuk Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Dr. Mohd Zabri Yusoff; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Datuk Dr. Husaini Omar; Pengerusi Majlis MQA, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran.

Sementara itu, Datuk Mohammad Shatar berkata, dalam siri pertemuan pihaknya dengan badan jaminan kualiti antarabangsa di Dubai, India dan United Kingdom (UK) sebelum ini, micro-credentials menjadi topik utama perbincangan.

“Kursus jangka pendek menjadi tunjang kepada permintaan industri dalam 'upskilling' dan 'reskilling', sekali gus memberikan petunjuk bahawa micro-credentials ialah pendidikan masa hadapan," katanya.