MQA promosi APEL di lobi Parlimen

Tarikh Kemaskini: 27 Mei 2022
Versi Bahasa Inggeris :
MQA promosi APEL di lobi Parlimen


KUALA LUMPUR: Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) terus memperkasa agenda pengajian sepanjang hayat (PSH) dengan mempromosi secara langsung inisiatif Akreditasi Pembelajaran Pengalaman Terdahulu (APEL) menerusi pembukaan reruai di lobi Parlimen.

Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, berkata pihaknya mahu mempromosikan APEL secara besar-besaran kepada masyarakat dan kali ini khusus untuk ahli parlimen Malaysia, pegawai serta kakitangan di Parlimen.

Katanya, menerusi APEL, masyarakat boleh meningkatkan kelayakan akademik berasaskan pengalaman lampau dan umum sedia maklum ahli parlimen mempunyai pengalaman luas dalam pelbagai bidang bukan hanya dalam politik.

"Pembukaan pameran khas ini merupakan cetusan idea dan inisiatif Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang turut memberikan makluman awal mengenainya kepada ahli parlimen pada satu sidang Dewan Rakyat, baru-baru ini.

"Pameran ini dapat menerangkan secara langsung kepada ahli parlimen dan pegawai yang bertugas di sini mengenai inisiatif APEL terutama bagaimana pengalaman boleh dinilai tara menjadi kelayakan akademik," katanya ketika ditemui di reruai MQA di lobi parlimen, baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Jaminan Kualiti) MQA, Prof. Ir. Dr. Khairul Salleh Mohamed Sahari; Pengarah Kanan Pembangunan Dasar dan Kepakaran MQA, Encik Mohamad Dzafir Mustafa dan Pengarah Bahagian Koordinasi dan Rujukan Jaminan Kualiti, Encik Muhamad Amran Zainal Abidin.



Datuk Seri Dr. Noraini (lima dari kanan) sempat meluangkan masa di pameran khas APEL di lobi Parlimen, baru-baru ini.



Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd. Nizar Zakaria antara ahli parlimen yang mengunjungi reruai MQA.