MQA teruskan CSR, santuni anak yatim

Tarikh Kemaskini: 17 Mei 2022
Versi Bahasa Inggeris :
MQA teruskan CSR, santuni anak yatim


CYBERJAYA: Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) meneruskan aktiviti tanggungjawab sosialnya (CSR) dengan menyantuni 50 anak yatim dari sekitar daerah Sepang dalam satu majlis berbuka puasa, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, berkata pihaknya mendapat kerjasama daripada Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) dalam menjayakan aktiviti CSR berkenaan.

Katanya, kumpulan anak yatim yang diraikan itu terdiri daripada mereka yang kehilangan bapa akibat COVID-19 sejak dua tahun lalu.

"Pada CSR kali ini, kami menyerahkan sumbangan berbentuk barangan keperluan makanan dan duit raya kepada anak yatim.

"Kami juga memberikan sokongan moral kepada tetamu istimewa ini untuk terus cekal dalam mendepani cabaran kehidupan," katanya pada Majlis Iftar MQA bersama Anak Yatim 2022 di Mercu MQA.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Jaminan Kualiti) MQA, Prof. Dr. Khairul Salleh Mohamed Sahari; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) MQA, Puan Halinordina Mat Saat; Pengerusi Puspanita MQA, Datin Norma Awang; Pengarah Kanan Pembangunan Dasar dan Kepakaran MQA, Encik Mohamad Dzafir Mustafa dan Pengurus Operasi YIDE, Encik Md Ariffin Jaafar.



Prof Datuk Dr Mohammad Shatar (berbaju Melayu keemasan)
beramah mesra dengan anak yatim yang hadir.


Ketua Unit Hal Ehwal Awam & Antarabangsa (MQA International),
Encik Muhammad Hasfarizal Kamaludin bertanyakan sesuatu kepada anak yatim yang diraikan.


Prof Datuk Dr Mohammad Shatar (berbaju Melayu keemasan)
berkongsi kata semangat kepada ibu tunggal yang hadir.