PSH: MQA jalin kerjasama dengan 8 IPT tempatan

Tarikh Kemaskini: 26 Mei 2022


PUTRAJAYA: Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan lapan institusi pengajian tinggi (IPT) untuk Program Rintis Stand-Alone Micro-Credentials (SAMC).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, usaha MQA membangunkan Garis Panduan Amalan Baik: Stand-alone Micro-credentials dapat menyokong inisiatif kementerian Micro-Credential Based Learning (M.CREDIBLE) dan kursus micro-credentials yang ditawarkan IPT tempatan, khususnya dalam aspek pengukuhan kualiti serta pengiktirafan.

Beliau berkata, pihaknya sedang mengusahakan satu fasa baharu pembelajaran fleksibel yang mana penawaran kursus micro-credentials walaupun pada asalnya tiada sebarang kaitan dengan mana-mana program pengajian, tetapi kini boleh diiktiraf untuk mendapat pemindahan kredit.

"Inisiatif itu bakal membolehkan individu yang telah mengumpulkan sejumlah kursus micro-credentials, secara fleksibel memohon untuk bergraduasi setelah memenuhi syarat yang ditetapkan oleh sesebuah IPT," katanya ketika berucap pada majlis MoU MQA dengan lapan IPT tempatan, baru-baru ini.

Lapan IPT berkenaan ialah Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Management and Science University (MSU) serta institusi di bawah seliaan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK).

Pada majlis itu, MQA diwaliki Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, manakala USM, UTM, UiTM dan UPSI diwakili Naib Canselornya, masing-masing Prof. Datuk Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan, Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail, Prof. Datuk Dr. Roziah Mohd. Janor dan Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff, UMP pula diwakili Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Prof Dr. Kamal Zuhairi Zamli.

MSU diwakili Presidennya, Prof Tan Sri Dr. Mohd Shukri Ab. Yajid, UTAR diwakili Naib Presidennya, Ir Prof. Dr. Goi Bok Min dan institusi di bawah seliaan JPPKK diwakili Zainab.





Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (bertudung merah) menyaksikan MQA memeterai kerjasama dengan
lapan IPT menerusi MoU di Kementerian Pengajian Tinggi, Putrajaya.



Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (bertudung merah) berkongsi pandangan mengenai SAMC
yang turut menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat (PSH).