Soalan Lazim: Ahli Panel Penilai

Tarikh Kemaskini: 04 Oktober 2019
Versi Bahasa Inggeris :
FAQs: Panel of Assessors

1) Apakah maksud APP yang dilantik dan berapa lamakah tempoh pelantikan?

Ahli Panel Penilai (APP) adalah pakar dalam bidang berkaitan yang mempunyai latar belakang yang berbeza seperti ahli akademik, profesional dan individu dari industri. APP mestilah berwibawa dari segi pengetahuan dan kemahiran dalam aspek pendidikan tinggi dan penilaian jaminan kualiti.

Pelantikan adalah secara contract for service mengikut kategori penilai bertauliah, penilai utama, penilai kanan, atau penilai yang sah bagi tempoh 3 tahun.

2) Bagaimana proses pelantikan APP?

Permohonan untuk dilantik sebagai APP boleh diterima daripada Bahagian Akreditasi/ PPT/ Industri/ Badan Profesional/ perseorangan melalui surat atau emel dengan menggunakan borang Permohonan APP.

Kriteria minimum pencalonan ialah jazah Sarjana Muda atau satu tahap lebih tinggi daripada program yang dinilai atau kelayakan bersesuaian, dan/atau; Lima tahun pengalaman dalam bidang berkaitan.

3) Apakah akan berlaku selepas tempoh 3 tahun tersebut?

APP akan dilantik semula selepas tempoh tersebut. Namun begitu, ianya tertakluk kepada prestasi APP yang dinilai setiap kali menerima tugasan penilaian.

4) Apakah bentuk bayaran yang diterima oleh APP atas perkhidmatan yang diberikan ?

APP akan menerima honorarium seperti yang ditetapkan serta elaun dan tuntutan yang layak berdasarkan tugasan oleh MQA. Kadar honorarium tertakluk kepada perubahan dari semasa ke semasa. MQA tidak akan menanggung apa-apa kos atau perbelanjaan lain oleh APP yang tidak berkaitan dengan tugas penilaian.

5) Siapakah pemilik dokumen dan laporan hasil penilaian program?

  1. Semua dokumen dan harta yang dibekalkan kepada APP untuk tujuan penilaian adalah kekal sebagai harta MQA.

  2. APP tidak boleh membuat sesuatu yang boleh melanggar apa-apa hak yang dimiliki oleh MQA atau pihak ketiga dalam dokumen atau harta berkaitan atau membuat sesuatu dengan apa cara yang merupakan pembaikan atau penambahan kepada dokumen-dokumen dan lain-lain bahan yang diterima untuk tujuan penilaian.

  3. APP hendaklah mengembalikan semua dokumen dan apa-apa bahan yang telah diterima berkaitan dengan tugas penilaian kepada MQA.

6) Bukankah laporan APP tertakluk di bawah Akta Hakcipta?

Laporan yang dikemukakan oleh APP kepada MQA tidak termasuk dalam kumpulan bahan atau karya yang dilindungi di bawah peruntukan Seksyen 7(1) Akta Hakcipta. Justeru, laporan yang dikemukakan oleh APP boleh digunakan oleh MQA bagi tujuan memberi akreditasi program.

7) Apakah tugas dan tanggungjawab APP?

APP yang diberi tugasan perlu melaksanakan tugas berikut:

  1. Meneliti dokumen-dokumen, laporan-laporan, rekod yang dikemukakan dan memberi ulasan mengikut kaedah penilaian yang ditetapkan oleh MQA.

  2. Menilai dan mengulas standard dan kualiti program yang dinilai.

  3. Melawat PPT jika dikehendaki oleh MQA atau pengerusi panel sebagai sebahagian daripada proses penilaian yang dijalankan. APP juga terlibat dalam perjumpaan atau perbincangan dengan pihak pengurusan, staf akademik, kakitangan sokongan dan pelajar di PPT, jika perlu.

  4. Setelah penilaian selesai dijalankan, APP hendaklah menyediakan laporan penilaian mengikut format yang disediakan oleh MQA untuk diserahkan kepada pengerusi panel penilai.

  5. Bertanggungjawab dalam menyiapkan laporan penilaian dalam tempoh yang ditetapkan oleh pihak MQA.

8) Adakah bayaran akan dibuat sekiranya APP gagal mengemukakan laporan mengikut tempoh yang ditetapkan?

Pembayaran Honorarium tidak akan dibuat sekiranya APP gagal mengemukakan laporan mengikut tempoh yang ditetapkan. Walau bagaimana pun, APP boleh mengemukakan justifikasi sekiranya lewat menghantar laporan atas sebab-sebab tertentu untuk diberi pertimbangan khas agar pembayaran honorarium dapat dibuat.

9) Apakah tempoh masa yang diberikan kepada APP untuk mengemukakan laporan bagi sesuatu tugas penilaian buat masa ini?

Tempoh masa yang ditetapkan buat masa ini ialah 14 hari selepas lawatan (FA) dan 21 hari selepas menerima dokumen lengkap (PA).