Amanat KPE 2023: MQA rangka 10 inisiatif lonjak pendidikan tinggi negara

Last Updated : 12 May 2023


SEPANG: Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) menggariskan 10 inisiatif bagi memacu kecemerlangan pendidikan tinggi negara.

Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof. Dato’ Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, inisiatif terbabit digarap bagi merealisasikan agenda MQA untuk muncul sebagai pemimpin dalam kalangan badan jaminan kualiti.

Beliau berkata, antara inisiatif berkenaan ialah MQA memainkan peranan sebagai pemudah cara untuk semua institusi pendidikan tinggi (IPT) tanpa mengira awam atau swasta dengan memperhebat kerjasama bagi meningkatkan kualiti pendidikan secara bersama.

“MQA juga komited untuk menyahut agenda pendigitalan yang diuar-uarkan kerajaan dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terutama membabitkan kerja memproses penilaian dan penghantaran dokumen.

“Bagi memperkukuh jaminan kualiti dalaman IPT tempatan, MQA akan meningkatkan jumlah graduan program Certified Officer in Quality Assurance of Higher Education menerusi penawaran program itu yang dikendalikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Tahun Baharu Ketua Pegawai Eksekutif MQA 2023 dengan tajuk `Pendidikan Tinggi Berkualiti Global’ di Mercu MQA, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Jaminan Kualiti) MQA, Prof. Ir. Dr. Khairul Salleh Mohamed Sahari; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) MQA, Puan Halinordina Mat Saat; Pengarah Kanan Pembangunan Dasar dan Kepakaran MQA, Encik Mohamad Dzafir Mustafa; Pengarah Kanan (Akreditasi), Encik Mohd Khairul Nizam Ibrahim dan Ahli-ahli Majlis MQA.