Choose Language:   Bahasa Melayu | English

Pengesahan Pengiktirafan Kelayakan Berdasarkan Pengiktirafan di Negara Asal

PRINSIP DAN POLISI


1.  Pengiktirafan Kelayakan

Agensi Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Agency, MQA) menyediakan perkhidmatan pengesahan pengiktirafan kelayakan luar negara berdasarkan pengiktirafan di negara asal.

MQA akan mengeluarkan satu kenyataan pengesahan berhubung pengiktirafan kelayakan dan perbandingannya dengan Kerangka Kelayakan Malaysia(Malaysian Qualifications Framework, MQF) bagi kelayakan yang memenuhi kriteria pengesahan MQA.


2.  Siapa Yang Boleh Memohon?

Permohonan pengesahan kelayakan luar negara boleh dibuat berdasarkan kategori berikut:

    2.1    Tajaan Kerajaan
    Permohonan adalah daripada agensi kerajaan dalam dan luar negara yang akan menaja pelajar mengikuti pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) luar negara bagi program yang belum disenaraikan di dalam Sistem Pengiktirafan Kelayakan (eSisraf);

    2.2    Pembiayaan Persendirian
    Permohonan adalah daripada individu (warganegara Malaysia) yang mendapat tajaan dari agensi swasta atau pembiayaan sendiri dan tidak melibatkan penajaan daripada agensi kerajaan.


3.  Prinsip Pengesahan Pengiktirafan Kelayakan Luar Negara

Permohonan untuk pengesahan kelayakan luar negara perlu memenuhi kriteria berikut:

    3.1   Kelayakan yang dianugerahkan oleh institusi pengajian yang diiktiraf atau diakredit oleh badan berautoriti di negara asal pada masa kelayakan tersebut dikeluarkan;

    3.2   Pemohon telah menamatkan pengajian, bergraduat dan lulus dengan jayanya di dalam bidang pengajian yang diikuti.


4.  Proses Dan Prosedur

    4.1    Maklumat yang diperlukan
    Adalah menjadi tanggungjawab pemohon untuk menyediakan maklumat yang lengkap dan bukti yang berkaitan berhubung kelayakan luar negara yang diperolehi.

    Sekiranya perlu, MQA akan memaklumkan pemohon untuk mengemukakan maklumat tambahan atau dokumen sokongan dalam tempoh masa yang ditetapkan. MQA akan / boleh menamatkan permohonan sekiranya pemohon gagal mengemukakan maklumat yang diperlukan dalam tempoh masa yang ditetapkan.

    Pengeluaran pengesahan pengiktirafan kelayakan adalah berdasarkan maklumat yang dikemukakan kepada MQA pada masa penilaian dilaksanakan.

    4.2   Caj perkhidmatan
    Semua permohonan adalah tertakluk kepada bayaran pemprosesan sebanyak RM100 yang tidak akan dikembalikan.

    4.3    Tempoh masa pemprosesan
    Memproses permohonan pengesahan pengiktirafan dalam tempoh 60 hari bekerja dari tarikh dokumen lengkap.

    Sekiranya maklum balas dan pengesahan diperlukan daripada pihak ketiga, proses dijangka akan mengambil masa melebihi 60 hari atau lebih lama.

    4.4   Pengesahan pengiktirafan
    MQA akan membuat pengesahan pengiktirafan hanya bagi kelayakan yang dapat disahkan sahaja. Kelayakan yang tidak dapat disahkan status pengiktirafannya akan dimaklumkan melalui surat dan e-mel.

    Penerimaan pengesahan pengiktirafan ini bagi tujuan permohonan pekerjaan, pelantikan dalam Perkhidmatan Awam, kenaikan pangkat, menyambung pelajaran, keanggotaan dalam badan profesional atau apa-apa tujuan yang berkaitan adalah tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Melantik, Institusi Pengajian atau Pihak Berkepentingan.

    4.5   Proses penilaian

    Peringkat 1: Pengesahan pengiktirafan kelayakan luar negara

    Pengesahan pengiktirafan kelayakan luar negara dibuat berdasarkan kepada sistem pendidikan di mana kelayakan tersebut dianugerahkan. Semakan yang dibuat adalah bagi membuktikan kelayakan yang dikeluarkan oleh badan penganugerah yang diiktiraf oleh negara asal dan telah memenuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan di dalam sistem pendidikan negara asal pada masa kelayakan tersebut diberikan. Sekiranya sesebuah negara mempunyai Kerangka Kelayakan, ianya akan memudahkan penilaian yang akan dibuat oleh MQA.

    Peringkat 2: Pernyataan nilai taraf perkhidmatan awam

    Pernyataan nilai taraf perkhidmatan awam dinyatakan di dalam pengesahan pengiktirafan adalah bagi memudahkan pemohon memohon pekerjaan yang bersesuaian dengan kelayakan yang dimiliki.

    Proses ini dijalankan berdasarkan prinsip-prinsip berikut:
    (i)   Pengesahan berdasarkan kelayakan yang tersenarai di dalam Daftar Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualification Register, MQR) atau eSisraf; atau
    (ii)  Pengesahan kelayakan dan institusi yang dibuat menggunakan perkhidmatan pengesahan dari pihak ketiga; atau
    (iii)  Pengesahan daripada kedutaan atau pihak berkuasa yang berkenaan

    4.6   Keputusan Pengesahan

    Semua permohonan yang lengkap akan dibawa ke Mesyuarat Pengesahan Pengiktirafan Kelayakan Berdasarkan Pengiktirafan Di Negara Asal untuk diluluskan pengesahan pengiktirafan kelayakan tersebut.

    Pemohon akan dimaklumkan keputusan pengesahan sama ada berjaya disahkan atau tidak dapat disahkan melalui email dalam tempoh 3 hari bekerja dan juga surat makluman dalam tempoh 14 hari bekerja.


TAKWIM PERMOHONAN PENGESAHAN PENGIKTIRAFAN KELAYAKAN LUAR NEGARA

TAHUN 2025

Cycle

Tarikh Permohonan Dibuka

Tarikh Permohonan Ditutup

Tarikh Mesyuarat Jawatankuasa Pengesahan Pengiktirafan Kelayakan Luar Negara

1/25

6 Januari 2025

24 Januari 2025

17 Februari 2025

2/25

18 Februari 2025

21 Mac 2025

17 April 2025

3/25

18 April 2025

23 Mei 2025

17 Jun 2025

4/25

18 Jun 2025

25 Julai 2025

18 Ogos 2025

5/25

19 Ogos 2025

22 September 2025

16 Oktober 2025

6/25

17 Oktober 2025

7 November 2025

8 Disember 2025

Nota:

  1. Tarikh permohonan dibuka merupakan tarikh bagi pemohon mengemukakan permohonan kepada MQA sama ada melalui e-mel esisraf@mqa.gov.my.
  2. Pemohon boleh mengisi borang permohonan sebelum tarikh permohonan dibuka, namun arahan pembayaran fi akan dimaklumkan secara e-mel selepas borang permohonan dengan pemakluman biller code bagi kaedah pembayaran secara JomPay.
  3. Hanya permohonan yang lengkap akan dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Nilai Taraf.
  4. Bagi borang permohonan permohonan tidak lengkap, ianya akan dibawa ke mesyuarat seterusnya.
  5. Tarikh mesyuarat adalah tertakluk kepada perubahan dari semasa ke semasa.
  6. Tiada pemulangan fi bagi permohonan yang tidak dapat diproses atau tidak lengkap.

BAGAIMANA CARA UNTUK MEMOHON PENGESAHAN PENGIKTIRAFAN KELAYAKAN LUAR NEGARA?


Pemohon perlu mengemukakan dokumen berikut kepada MQA:

    a)    Tajaan Kerajaan
    • Borang (PKLN 01) - Tarikh Kemaskini: 01 Januari 2024
    • Maklumat kelayakan;
    • Bukti Pengiktirafan atau Akreditasi kelayakan daripada pihak berkuasa dari negara asal;
    • Maklumat mengenai Kerangka Kelayakan Negara berkenaan;
    • Dokumen sokongan dan pengesahan mengenai status pengiktirafan kelayakan dari Kedutaan Malaysia atau Suruhanjaya Pengajian Tinggi

    b)    Pembiayaan persendirian
    • Borang (PKLN 02) - Tarikh Kemaskini: 01 Januari 2024
    • Salinan Kad Pengenalan yang disahkan;
    • Salinan dokumen sokongan atau lain-lain pernyataan kelayakan yang dikeluarkan oleh institusi yang disahkan;
    • Salinan sijil dan transkrip asal yang disahkan (dalam bahasa asal selain Bahasa Inggeris)
    • Salinan sijil dan transkrip terjemahan dalam Bahasa Inggeris jika kelayakan atau sebarang dokumen tambahan tidak disediakan dalam Bahasa Inggeris yang disahkan.
    • Bukti Pengiktirafan atau Akreditasi kelayakan daripada pihak berkuasa dari negara asal
    • Bayaran pemprosesan RM100 secara dalam talian (JomPAY).