Choose Language:   Bahasa Melayu | English

Peluang terbuka luas pelajar pondok sambung pengajian


Only Available in Bahasa Melayu Version




KUANTAN: Pengalaman pelajar lepasan pondok dan madrasah boleh ditukar menjadi 'tiket' kemasukan ke institusi pendidikan tinggi (IPT) tempatan dan kelayakan akademik menerusi Pengakreditan Pembelajaran Pengalaman Terdahulu (APEL).

Pengarah Kanan (Pembangunan Dasar dan Kepakaran) Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Mohammad Dzafir Mustafa berkata, tenaga pengajar di pondok, guru madrasah tahfiz, imam masjid, guru al-Quran, taska dan KAFA perlu memanfaatkan peluang itu bagi menggunakan pengalaman mereka untuk melanjutkan pengajian.

Katanya, golongan itu mempunyai peluang cerah untuk menyambung pengajian di IPT tempatan sama ada universiti awam mahupun universiti swasta walaupun tidak mempunyai latar belakang pendidikan secara konvensional.

"Biarpun tidak mempunyai kelayakan seperti pelajar yang mengikuti pembelajaran secara konvensional, lepas pondok dan madrasah berpeluang menukarkan pengalaman mereka untuk dijadikan akses kemasukan ke IPT.

"Sebelum ini pun memang sudah ada calon APEL dari aliran agama yang kini mengikuti pengajian peringkat ijazah sarjana muda di universiti awam dan IPT swasta dan diharap selepas ini lebih ramai mengikuti jejak langkah mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perkongsian MQA pada Hari Terbuka APEL Bersasar di Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS), di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Presiden Ikatan Madrasah Pahang, Al Fadhil Maulana Wan Helmi Wan Mohamed; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UnIPSAS, Dr. Ahmad Effat Mokhtar; Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Koordinasi dan Rujukan Jaminan Kualiti MQA, Nenney Shahriza Samsuddin dan Ketua Unit Hal Ehwal Awam dan Antarabangsa, Muhammad Hasfarizal Kamaludin.

Pameran berkaitan APEL turut diadakan pada program itu membabitkan penyertaan dari Multimedia University (MMU), Open University Malaysia (OUM), Asia e University (AeU), Kuala Lumpur Metropolitan University College (KLMUC), Kolej Antarabangsa Teknologi Spektrum, Kolej Asa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan UnIPSAS sendiri.

Sementara itu, Wan Helmi berkata, program itu adalah satu perkara yang baik dan perlu disokong oleh semua kerana melaluinya, inisiatif sesetengah pihak dapat dilihat dalam usaha untuk mengelakkan ada pelajar yang tercicir daripada pendidikan.

Beliau berkata, program yang itu adalah sebahagian bukti keprihatinan pihak MQA dengan kerjasama UnIPSAS sebagai sebuah IPT Islam di Pahang terhadap usaha dan langkah melestarikan pembangunan ilmu di negara ini.

"Kita dapat lihat banyak peluang yang telah disediakan untuk menyambung pengajian di bidang akademik.

"Pelajar pondok dan madrasah mempunyai banyak pengalaman dalam sesuatu bidang, jadi, pengalaman yang telah diperoleh mereka sepanjang kehidupan di pondok dan madrasah dapat dinilai dan dikeluarkan dalam bentuk sijil untuk meneruskan pelajaran di IPT yang diminati," katanya.