
SEPANG: Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) telah melangsungkan Mesyuarat Jawatankuasa Akreditasi (MJA) Bilangan 01 bagi tahun 2024 pada 30 Januari lalu.
Keanggotaan Jawatankuasa Akreditasi ini terdiri daripada 13 orang ahli bagi Bidang Sains dan 13 orang ahli Bidang Sastera yang terdiri daripada ahli akademik, wakil agensi dan industri.
Fungsi Jawatankuasa Akreditasi ini adalah bertanggungjawab menerima, menilai, menganalisis laporan penilaian bagi permohonan Akreditasi Sementara dan Akreditasi Penuh program daripada Pemberi Pendidikan Tinggi (PPT).
Setelah meneliti laporan penilaian, Jawatankuasa Akreditasi akan bertindak memperakukan sama ada untuk memberikan, menolak, atau membatalkan Akreditasi Sementara dan Akreditasi Penuh program atau kelayakan selaras dengan Seksyen 9(1)(c) Akta MQA.





