SEPANG: Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) telah menghadiri 2023 China-ASEAN Education Cooperation Week (CAECW) yang telah diadakan di Bandar Guiyang, ibu kota Wilayah Guizhou, China, pada 29 Ogos, di bawah tema 'Prospek Baharu dalam Kerjasama Pendidikan'.
Berlangsung dari 28 Ogos hingga 2 September, acara enam hari itu dianjurkan bersama oleh Kementerian Luar Negeri dan Pendidikan China, dan kerajaan Wilayah Guizhou, China.
Menampilkan 122 aktiviti yang berbeza termasuk forum dan pameran pendidikan yang turut disertai MQA serta pemberi pendidikan tinggi Malaysia, program itu menarik penyertaan ratusan perwakilan, termasuk pegawai kerajaan, pemimpin agensi penyelidikan pendidikan dan saintifik, diplomat, para cendekiawan, wakil belia, pengamal media dari negara-negara ASEAN dan China.
Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, YBrs. Prof. Dr. Azlinda Azman yang dijemput sebagai panelis dalam forum China-ASEAN and the Belt and Road Nations University President berkongsi pencapaian dan cabaran pendidikan tinggi Malaysia dalam meningkatkan kualiti dan daya saing di arena antarabangsa.
Pengarah Education Malaysia Beijing, China, Encik Sallehuddin Mohd Dilif, turut dijemput menghadiri forum meja bulat dan dialog bertajuk "The Core Qualities of High-Level Internationalized Talents".
Beliau memperkenalkan beberapa inisiatif dan program yang telah dilaksanakan oleh kerajaan dan universiti di Malaysia untuk menyokong pembangunan bakat antarabangsa.
Penganjuran CAECW bertujuan menggalakkan pertukaran dan kerjasama dalam bidang pendidikan dan latihan antara negara-negara ASEAN dan China.
MQA telah diwakili oleh Pengarah Pusat Latihan Jaminan Kualiti Malaysia (MQATC), Puan Norasikin Yahya dan Penolong Pengarah MQA International (MQAI), Encik Fairul Nahar Baharudin.