Pilih Bahasa:   Bahasa Melayu | English

Kelayakan Masuk Pelajar Antarabangsa

Penilaian Kesetaraan Kelayakan Masuk Pelajar Antarabangsa Bagi Tujuan Kemasukan Ke Institusi Pendidikan Tinggi Di Malaysia

Kesetaraan kelayakan masuk adalah penting bagi memastikan penerimaan sesuatu kelayakan adalah selaras dengan kelayakan masuk yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia.



Tujuan Penilaian

Tujuan penilaian ini ialah bagi membantu Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) yang berhasrat mengambil pelajar dengan kelayakan dari luar negara bagi kemasukan ke program pengajian tinggi di Malaysia.




Skop Penilaian

MQA hanya menilai kesetaraan kelayakan peringkat menengah (secondary level) sahaja bagi menentukan peringkat pengajian yang boleh dimohon oleh pemegang kelayakan.

MQA tidak membuat penilaian bagi:

  1. kesetaraan gred mata pelajaran
    MQA tidak membuat perbandingan subjek bagi memenuhi syarat kelayakan masuk program tertentu.

  2. kesetaraan gred / skor / markah
    IPT bertanggungjawab untuk mengkaji dan meneliti sistem gred / skor / markah sesuatu kelayakan bagi menyetarakan gred kelayakan tersebut dengan gred kelayakan di Malaysia.
Prinsip Kesetaraan Kelayakan

Secara umumnya, kesetaraan kelayakan persekolahan luar negara diputuskan berpandukan prinsip berikut:

  1. Kelayakan 12 tahun persekolahan luar negara adalah setara untuk kemasukan dan boleh digunakan untuk melanjutkan pengajian ke Tahap 6 MQF (Ijazah Sarjana Muda) dengan syarat berikut :
    - ia merupakan kelayakan persekolahan tertinggi di negara asal; dan
    - ia diterima sebagai kelayakan masuk ke program ijazah sarjana muda di negara asalnya.

  2. Kelayakan di bawah 12 tahun (tidak kurang 10 tahun persekolahan) yang merupakan exit qualification di negara asal adalah setara untuk kemasukan dan boleh digunakan sebagai kelayakan masuk ke Program Asas (Foundation), Tahap 3 MQF (Sijil) atau Tahap 4 MQF (Diploma); dan

  3. Penggunaan sesuatu kelayakan juga perlu mematuhi syarat-syarat kemasukan minimum yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT).


Prosedur permohonan kesetaraan Kelayakan

MQA hanya memproses permohonan kesetaraan bagi kelayakan yang tidak dinyatakan dalam senarai kelayakan masuk pelajar antarabangsa seperti di paparan.

Sekiranya kelayakan yang ingin dirujuk tiada dalam senarai tersebut, anda boleh mengemukakan permohonan semakan kesetaraan kelayakan kepada MQA.

Permohonan boleh dikemukakan berdasarkan kategori berikut:

  1. Permohonan oleh IPT
    IPT perlu membuat penilaian kesetaraan terlebih dahulu, sebelum mengemukakan kepada MQA untuk pengesahan.
    Permohonan perlu disertakan dengan dokumen-dokumen berikut:
    1. Borang NT 01- Tarikh Kemaskini: 1 Januari 2024
    2. Asas Penentuan Kesetaraan Kelayakan
    3. Kesetaraan yang dicadangkan
    4. Salinan sijil bergraduat rasmi (dalam bahasa asal); dan/atau
    5. Transkrip akademik akhir (dalam bahasa asal)
    6. Terjemahan rasmi sijil dan/atau transkrip akhir dalam bahasa inggeris yang telah disahkan oleh autoriti yang berkelayakan (Notary Public atau kedutaan negara berkenaan atau kementerian yang bertanggungjawab bagi pendidikan di negara berkenaan) (sekiranya dokumen (i) dan (ii) bukan dalam Bahasa Melayu / Inggeris).

  2. Permohonan oleh Individu / Pelajar
    Permohonan perlu disertakan dengan dokumen-dokumen berikut:
    1. Borang NT 01- Tarikh Kemaskini: 1 Januari 2024
    2. Salinan sijil bergraduat rasmi (dalam bahasa asal); dan/atau
    3. Transkrip akademik akhir (dalam bahasa asal)
    4. Terjemahan rasmi sijil dan/atau transkrip akhir dalam bahasa Inggeris yang telah disahkan oleh autoriti yang berkelayakan (Notary Public atau kedutaan negara berkenaan atau kementerian yang bertanggungjawab bagi pendidikan di negara berkenaan) (sekiranya dokumen (i) dan (ii) bukan dalam Bahasa Melayu / Inggeris).


Senarai kelayakan