Kompilasi kelayakan masuk ini merupakan panduan syarat kemasukan minimum ke program pendidikan tinggi mengikut tahap pengajian dalam Kerangka Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Framework, MQF). Kompilasi ini dibangunkan sebagai rujukan kepada Pemberi Pendidikan Tinggi (PPT) dan pihak berkepentingan yang lain.
Walau bagaimanapun, secara prinsipnya syarat kelayakan masuk ke program pendidikan tinggi adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan badan profesional yang berkaitan. Sebarang perubahan atau penambahan syarat kelayakan masuk hendaklah dirujuk kepada KPT dan badan profesional yang berkenaan.
PERHATIAN:
- Kompilasi kelayakan masuk ini akan berubah dari semasa ke semasa berdasarkan kepada keperluan syarat Gred/ NGMP/ PNGK/ Pengkhususan Mata Pelajaran/ sebarang syarat yang berkaitan dalam bidang pengajian tertentu yang tertakluk kepada surat kelulusan KPT/ standard program/ badan profesional yang berkenaan.
- Syarat kelayakan masuk bagi program yang tidak tertakluk kepada mana-mana standard program atau badan profesional, boleh merujuk kepada syarat kelayakan masuk umum seperti yang disenaraikan. Senat PPT perlu menetapkan syarat tambahan seperti keperluan kompetensi mata pelajaran tertentu sekiranya semakan pemberat kurikulum dari segi major/teras menjurus kepada bidang khusus yang tertentu.
- MQA tidak membuat penilaian bagi kesetaraan gred mata pelajaran bagi memenuhi syarat kelayakan masuk tertentu.
- PPT bertanggungjawab untuk mengkaji dan meneliti sistem gred/skor/markah bagi menyetarakan gred kelayakan tersebut dengan gred yang ditetapkan.
- Senarai Kelayakan Persekolahan Antarabangsa bagi kemasukan ke program pendidikan tinggi di Malaysia boleh dirujuk pada pautan ini.