Choose Language:   Bahasa Melayu | English

MQA, ABEST21 perkukuh kerjasama pendidikan tinggi Malaysia-Jepun


Only Available in Bahasa Melayu Version




SEPANG: Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) melanjutkan kerjasama dengan The Alliance on Business Education And Scholarship For Tomorrow, A 21st Century Organisation (ABEST21), Jepun dalam bidang jaminan kualiti pendidikan tinggi.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata, jalinan itu akan memperkukuh kerjasama kedua-dua organisasi untuk melangkah dan meneroka inisiatif menjurus ke hadapan, terutamanya dalam bidang pendidikan fleksibel serta pembelajaran sepanjang hayat.

Beliau berkata, kedua-dua inisiatif itu menjadi perhatian utama negara di seluruh dunia dan dengan bakat yang luar biasa yang dimiliki Malaysia dan seharusnya memimpin inisiatif berkenaan.

“Kini, Malaysia secara berterusan mempromosikan Pengareditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) dan micro-credentials.

“Inisiatif ini memberi tumpuan kepada golongan bekerja dan bekerjaya perlu diperluaskan ke peringkat antarabangsa, justeru kerjasama dengan ABEST21, diharap dapat meneroka dan membuka pintu kepada lebih ramai pelajar Jepun untuk melanjutkan pendidikan di Malaysia,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara MQA bersama ABEST21, di sini, baru-baru ini.

Pada majlis itu, MQA diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, YBhg. Dato' Prof. Dr. Mohammad Shatar Sabran, manakala ABEST21 diwakili oleh Naib Presidennya, Prof. Dr. Ali Khatibi mewakili Presiden ABEST21, Prof. Emeritus Dr. Itoh Fumio dan disaksikan Mohammad Yusof; Setiausaha Pertama (Ataché Pendidikan) Kedutaan Jepun di Malaysia, Yukiyoshi SAITO dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Azlinda Azman.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Akademik dan Pembangunan), YBhg. Prof. Dato’ Dr. Norzaini Azman; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Jaminan Kualiti) MQA, YBrs. Prof. Ir. Dr. Khairul Salleh Mohamed Sahari; Setiausaha, Bahagian Hubungan Antarabangsa KPT, YBhg. Datin Noorazah Omar dan Naib Presiden ABEST21 International, Prof. Madya Teguh Dartanto.

Sementara itu, YBhg. Prof. Dr. Mohammad Shatar berkata, Malaysia dan Jepun memiliki hubungan kuat dalam pelbagai bidang seperti sektor pendidikan tinggi.

Beliau berkata, kerjasama itu telah bermula dari 2015 dan pelbagai inisiatif telah dilakukan termasuklah pertukaran idea dan pengetahuan, perkongsian dan pemudahcaraan maklumat pengiktirafan, pembangunan bakat dan perkongsian kepakaran melalui pengalaman penyelidikan.

“Dengan pembaharuan ini, MQA akan membawa kerjasama berkenaan ke tahap yang lebih tinggi dengan menggabungkan elemen pengiktirafan global, inisiatif pembandingan, dan pengiktirafan pembelajaran berdasarkan pengalaman terdahulu.

“Dalam persekitaran serba mencabar kini, pengalaman pembelajaran dan kaedah pengajaran harus berkembang dari kaedah konvensional termasuk peluang untuk orang awam meningkatkan pengajian mereka juga, justeru inisiatif pembelajaran sepanjang hayat dan pendidikan fleksibel memainkan peranan dominan dalam mempromosikan pendidikan tinggi kepada golongan dewasa yang bekerja,” katanya.

MQA turut memperkenalkan Pengakreditan Pembelajaran Berdasarkan Pengalaman Sebelumnya (APEL) yang mengiktiraf pengalaman seseorang untuk diubah menjadi kredit agar mereka dapat masuk ke institusi pendidikan tinggi

“Selain itu, kami juga telah memperkenalkan inisiatif micro-credentials yang terbuka bagi lebih banyak peluang pembelajaran bagi masyarakat, misalnya, seorang mahasiswa di Jepun dapat mengambil kursus mereka di Malaysia dan menggabungkannya menjadi kelayakan.

“Dengan kata lain, mereka dapat lulus di IPT dari Jepun dengan menggabungkan kursus dan program dari IPT Malaysia pada transkrip mereka,” katanya.