Recognition


Last Updated : 06 September 2019

Bahasa Melayu Version :
Pengiktirafan

PRINSIP DAN POLISI

1.  PENGIKTIRAFAN KELAYAKAN

Agensi Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Agency, MQA) menyediakan perkhidmatan pengesahan pengiktirafan kelayakan luar negara berdasarkan pengiktirafan di negara asal.

MQA akan mengeluarkan satu kenyataan pengesahan berhubung pengiktirafan kelayakan dan perbandingannya dengan Kerangka Kelayakan Malaysia(Malaysian Qualifications Framework, MQF) bagi kelayakan yang memenuhi kriteria pengesahan MQA.


2.  SIAPA YANG BOLEH MEMOHON?

Permohonan pengesahan kelayakan luar negara boleh dibuat berdasarkan kategori berikut:

    2.1    Tajaan Kerajaan
    Permohonan adalah daripada agensi kerajaan dalam dan luar negara yang akan menaja pelajar mengikuti pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) luar negara bagi program yang belum disenaraikan di dalam Sistem Pengiktirafan Kelayakan (eSisraf);

    2.2    Pembiayaan Persendirian
    Permohonan adalah daripada individu yang mendapat tajaan dari agensi swasta atau pembiayaan sendiri dan tidak melibatkan penajaan daripada agensi kerajaan.


3.  PRINSIP PENGESAHAN PENGIKTIRAFAN KELAYAKAN LAUR NEGARA


Permohonan untuk pengesahan kelayakan luar negara perlu memenuhi kriteria berikut:

    3.1   Kelayakan yang dianugerahkan oleh institusi pengajian yang diiktiraf atau diakredit oleh badan berautoriti di negara asal pada masa kelayakan tersebut dikeluarkan;

    3.2   Pemohon telah menamatkan pengajian dan bergraduat di dalam bidang pengajian yang diikuti.


4.  PROSES DAN PROSEDUR

    4.1    Maklumat yang diperlukan
    Adalah menjadi tanggungjawab pemohon untuk menyediakan maklumat yang lengkap dan bukti yang berkaitan berhubung kelayakan luar negara yang diperolehi.

    Sekiranya perlu, MQA akan memaklumkan pemohon untuk mengemukakan maklumat tambahan atau dokumen sokongan dalam tempoh masa yang ditetapkan. MQA akan / boleh menamatkan permohonan sekiranya pemohon gagal mengemukakan maklumat yang diperlukan dalam tempoh masa yang ditetapkan.

    Pengeluaran pengesahan pengiktirafan kelayakan adalah berdasarkan maklumat yang dikemukakan kepada MQA pada masa penilaian dilaksanakan.

    4.2   Caj perkhidmatan
    Semua permohonan adalah tertakluk kepada bayaran pemprosesan sebanyak RM100 yang tidak akan dikembalikan.

    4.3    Tempoh masa pemprosesan
    Memproses permohonan pengesahan pengiktirafan dalam tempoh 14 hari bekerja dari tarikh dokumen lengkap.

    Sekiranya maklum balas dan pengesahan diperlukan daripada pihak ketiga, proses dijangka akan mengambil masa melebihi 14 hari atau lebih lama.

    4.4   Pengesahan pengiktirafan
    MQA akan membuat pengesahan pengiktirafan hanya bagi kelayakan yang dapat disahkan sahaja. Kelayakan yang tidak dapat disahkan status pengiktirafannya akan dimaklumkan melalui surat dan e-mel.

    Penerimaan pengesahan pengiktirafan ini bagi tujuan permohonan pekerjaan, pelantikan dalam Perkhidmatan Awam, kenaikan pangkat, menyambung pelajaran, keanggotaan dalam badan profesional atau apa-apa tujuan yang berkaitan adalah tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Melantik, Institusi Pengajian atau Pihak Berkepentingan.

    4.5   Proses penilaian

    Peringkat 1: Pengesahan pengiktirafan kelayakan luar negara

    Pengesahan pengiktirafan kelayakan luar negara dibuat berdasarkan kepada sistem pendidikan di mana kelayakan tersebut dianugerahkan. Semakan yang dibuat adalah bagi membuktikan kelayakan yang dikeluarkan oleh badan penganugerah yang diiktiraf oleh negara asal dan telah memenuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan di dalam sistem pendidikan negara asal pada masa kelayakan tersebut diberikan. Sekiranya sesebuah negara mempunyai Kerangka Kelayakan, ianya akan memudahkan penilaian yang akan dibuat oleh MQA.

    Peringkat 2: Pernyataan nilai taraf perkhidmatan awam

    Pernyataan nilai taraf perkhidmatan awam dinyatakan di dalam pengesahan pengiktirafan adalah bagi memudahkan pemohon memohon pekerjaan yang bersesuaian dengan kelayakan yang dimiliki.

    Proses ini dijalankan berdasarkan prinsip-prinsip berikut:
    (i)   Pengesahan berdasarkan kelayakan yang tersenarai di dalam Daftar Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualification Register, MQR) atau eSisraf; atau
    (ii)  Pengesahan kelayakan dan institusi yang dibuat menggunakan perkhidmatan pengesahan dari pihak ketiga; atau
    (iii)  Pengesahan daripada kedutaan atau pihak berkuasa yang berkenaan