FAQs: Programme Standards

Last Updated : 27 December 2018
Bahasa Melayu Version :
Soalan Lazim : Standard Program

1. Generik (merentas standard program)


1. Adakah penilaian akhir hanya dalam bentuk peperiksaan akhir?

Tidak semestinya. Penilaian akhir boleh dijalankan dalam pelbagai bentuk seperti laporan kajian kes dan pembentangan, namun tertakluk kepada keperluan tertentu sesuatu standard program.

2. Adakah dengan menggunakan pendekatan blended learning, kaedah penyampaian program perlu ditukar daripada konvensional kepada ODL?

Blended learning ialah salah satu kaedah pembelajaran dan pengajaran. Kaedah penyampaian program (konvensional atau ODL) ditentukan berdasarkan peratusan pembelajaran dalam talian yang dilaksanakan.

3. Apakah yang dimaksudkan dengan sijil yang diiktiraf dalam syarat kelayakan masuk?

Sijil yang diiktiraf adalah kelayakan yang telah diakredit/diiktiraf oleh badan berautoriti atau badan profesional negara berkenaan yang mengesahkan kelayakan tersebut.

4. Adakah kelayakan seperti UEC, O-Level, A-Level, Canadian Pre-University boleh diterima masuk bagi program diploma atau sarjana muda walaupun tidak dinyatakan dalam standard program?

Kelayakan-kelayakan lain yang setara dengan SPM dan STPM seperti UEC, O-Level, A-Level, Canadian Pre-University boleh diterima, namun tertakluk kepada keperluan spesifik mata pelajaran SPM dan PNGK.

5. Siapakah yang bertanggungjawab untuk menentukan kesetaraan pencapaian sesuatu kelayakan yang tidak menggunakan sistem pemarkahan PNGK?

Bagi kelayakan yang tidak menggunakan sistem pemarkahan PNGK, kesetaraan pemarkahan terhadap sistem PNGK perlu dilaksanakan sendiri oleh PPT.

6. Apakah gred di peringkat A-Level yang diterima setara dengan gred C (NGMP: 2.00) di peringkat STPM untuk kemasukan ke sarjana muda?

Gred yang diterima setara dengan gred STPM untuk kemasukan ke sarjana muda bagi kelayakan A-Level adalah gred D walaupun gred E adalah lulus.

7. Sekiranya syarat kelayakan masuk sesuatu program memerlukan kepujian (kredit) dalam 3 mata pelajaran SPM dan lulus dalam mata pelajaran Matematik, di mana calon mendapat kredit untuk Matematik, adakah hanya 3 mata pelajaran yang kredit itu diambil kira atau masih memerlukan keseluruhan 4 mata pelajaran?

Dalam kes yang dinyatakan, 3 mata pelajaran yang kredit itu diambil kira kerana syarat 3 kepujian telah ditepati dan pencapaian kredit Matematik adalah lebih tinggi daripada syarat lulus yang ditetapkan.

8. Apakah skor MUET yang setara dengan skor IELTS 5.0?

Merujuk kepada Surat Makluman JPT dengan nombor rujukan JPT/GS1000-614(139) bertarikh 30 November, IELTS 5.0 disetarakan dengan MUET Band 3.

9. Adakah peratusan penilaian berterusan dan penilaian akhir yang dinyatakan adalah wajib dipatuhi?

Peratusan penilaian berterusan dan akhir adalah wajib dipatuhi seperti yang ditetapkan dalam standard program.

10. Adakah wajib untuk menawarkan kursus sesuatu program seperti yang terkandung dalam badan pengetahuan (body of knowledge)?

PPT wajib memastikan badan pengetahuan (body of knowledge) yang ditetapkan ada dalam program, namun tertakluk kepada keperluan yang digariskan dalam sesuatu standard program seperti keperluan menawarkan setiap kursus secara berasingan atau boleh digabung serta kaedah pemilihan kursus mengikut reka bentuk program tertentu.