FAQs: Quality Assurance Related Policy

Last Updated: 30 September 2019
Bahasa Melayu Version :
Dasar Berkaitan Jaminan Kualiti

FAQ Dasar Berkaitan Jaminan Kualiti adalah satu kompilasi soalan-soalan yang sering diajukan oleh pihak-pihak berkepentingan kepada MQA. Kompilasi ini disediakan bertujuan memudahkan pihak-pihak berkepentingan mendapatkan jawapan terhadap persoalan-persoalan yang sering ditimbulkan dengan cepat dan mudah. Jawapan-jawapan yang disediakan adalah selaras dengan dasar-dasar semasa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), standard bidang dan keperluan badan profesional.

Kompilasi FAQ ini dibahagikan kepada enam tajuk utama iaitu:

  • Penawaran Program
  • Sistem Semester
  • Kurikulum
  • Kelayakan masuk
  • Pindah kredit dan pengecualian kursus
  • Lain-lain

Adalah diharap, dengan adanya FAQ Dasar Berkaitan Jaminan Kualiti dapat membantu pihak-pihak berkepentingan memahami dan mematuhi dasar-dasar jaminan kualiti agar dapat diaplikasikan dalam proses jaminan kualiti di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) masing-masing.

Bahagian Dasar dan Penyelidikan
Sektor Pembangunan Dasar dan Kepakaran
Agensi Kelayakan Malaysia
2014


PENAWARAN PROGRAM



1) Bagaimanakah bentuk penamaan program pada skrol pelajar perlu dinyatakan?

Penamaan pada skrol pelajar perlu mengikut nama program sebagaimana yang dinyatakan dalam Surat Kelulusan Pengendalian Program yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Penamaan yang sama juga akan digunakan di dalam Daftar Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Register, MQR).

2) Adakah kelayakan dari program Degree Transfer Programme layak mendapat skrol pengajian setelah tamat pengajian di PPT tempatan?

Tidak layak. Pelajar hanya akan mendapat sijil statement of completion.

Nota: Degree Transfer Programme adalah program kerjasama antara Pemberi Pendidikan Tinggi (PPT) dengan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Luar Negara.

3) Berapakah nilai kredit bagi Latihan Industri (LI) dan berapa bulan tempoh penawarannya?

Berdasarkan Dasar Latihan Industri yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian pada tahun 2010, tempoh Latihan Industri bergantung kepada program pengajian dan juga PPT yang melaksanakannya.

Dicadangkan supaya tempoh terkumpul bagi Latihan Industri tidak kurang daripada tiga bulan atau tempoh yang ditetapkan oleh mana-mana badan profesional dan standard program serta berdasarkan program yang ditawarkan.

Adalah dicadangkan juga bahawa nilai kredit yang diberikan hendaklah tidak kurang daripada dua kredit dan tidak lebih daripada 12 kredit.

Sumber:

  1. Dasar Latihan Industri Institusi Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi, 2010
  2. Standard Program

4) Bolehkah Latihan Industri ditawarkan sebanyak sembilan kredit dalam semester panjang selama empat bulan?

Tidak boleh. Secara amnya, satu kredit Latihan Industri bersamaan dengan dua minggu. Sehubungan itu, sekiranya Latihan Industri dijalankan selama empat bulan (16 minggu), maka nilai kredit bagi latihan industri adalah 8 kredit mengikut ketetapan satu kredit bersamaan dua minggu.

5) Adakah pelajar yang sedang bekerja yang mengikuti program secara separuh masa dikecualikan daripada mengikuti Latihan Industri (LI)?

Pada amnya semua pelajar (sama ada separuh masa atau sepenuh masa) wajib memenuhi keperluan LI yang ditetapkan. Oleh itu, pelajar yang sedang bekerja dibenar untuk menjalankan LI di tempat pelajar bekerja dengan syarat pelaksanaan LI adalah dalam bidang yang sama dengan program yang diikuti dan skop kerja adalah sama tahap dengan program yang diikuti.

Walau bagaimanapun, jika sekiranya pelajar tersebut telah mempunyai pengalaman bekerja terdahulu yang memenuhi hasil pembelajaran kursus latihan industri yang ditetapkan dalam program yang diikuti, maka pengecualian kredit LI boleh diberikan, namun pelajar perlu mengambil kursus lain atau melaksanakan projek yang bersesuaian dalam bidang dan mempunyai nilai kredit yang sama.

Sumber:
Surat Makluman MQA Bil. 2 Tahun 2018 – Penggantian Latihan Industri (LI) Dengan Komponen Lain Kurikulum bagi Pelajar Separuh Masa

6) Bolehkah Latihan Industri ditawarkan bersekali dengan kursus-kursus lain dalam satu semester?

Latihan Industri boleh ditawarkan secara bersekali dengan kursus-kursus lain dalam satu semester. Dalam situasi ini, pelajar perlu menyelesaikan pengambilan kursus-kursus lain dalam semester tersebut sebelum melaksanakan Latihan Industri. Latihan Industri memerlukan peruntukan masa yang khusus berdasarkan keperluan suatu program.

Walau bagaimanapun, dalam situasi tertentu pelaksanaan Latihan Industri perlu dilaksanakan dalam semester khusus berdasarkan keperluan Standard Program yang berkenaan.

SISTEM SEMESTER



7) Bolehkah suatu program yang dilaksanakan secara modular membuat pengambilan pelajar melebihi tiga kali setahun?

Tidak boleh. Dasar Kementerian menetapkan bahawa pengambilan pelajar tidak boleh melebihi tiga sesi/semester dalam satu tahun pengajian.

Sumber:
Surat Makluman JPT: JPT (A) 100/001/013/05 (17) bertarikh 27 Mac 2012 - Surat Makluman Berkenaan Dasar Jaminan Kualiti yang Diputuskan Melalui Mesyuarat Kajian Semula Berkaitan Jaminan Kualiti Bil. 1/2011 - 3/2011

8) Adakah pengambilan pelajar bagi program postgraduate by research boleh dilakukan sepanjang tahun tanpa tertakluk kepada dasar sistem semester?

Tidak boleh. Pengambilan pelajar program postgraduate by research masih tertakluk kepada bilangan sesi/semester yang ditawarkan dalam satu tahun pengajian.

9) Berapa kursus yang perlu diletakkan pada setiap semester dan berapa jumlah kredit maksimum yang boleh ditawarkan dalam setiap semester?

Penawaran program dan kursus dalam setiap semester perlu mematuhi dasar sistem semester seperti berikut:

  1. 1 tahun pengajian = maksimum 43 minggu termasuk minggu ulang kaji dan peperiksaan. Bagi tahun pengajian yang melibatkan Latihan Industri, tempoh maksimum pengajian adalah 45 minggu.
  2. Bilangan maksimum sesi/semester bagi satu tahun pengajian adalah 3 sesi/semester.
  3. Beban pembelajaran pelajar bagi satu tahun pengajian adalah maksimum sebanyak 50 kredit.
  4. Jumlah kredit maksimum bagi satu semester adalah 20 kredit (untuk 17 minggu/semester termasuk minggu ulang kaji dan peperiksaan). Namun begitu, bagi program foundation dan ijazah sarjana (Tahap 7, MQF), ia dikecualikan daripada ketetapan ini.
  5. Sesi pengambilan pelajar adalah berdasarkan kepada bilangan sesi/semester yang ditawarkan dalam satu tahun pengajian.
  6. Tempoh minimum program adalah berdasarkan dasar KPM, contohnya, program Ijazah Sarjana Muda adalah tiga tahun. Sekiranya tiada dasar yang ditetapkan bagi suatu kelayakan, maka tempoh minimum program ditetapkan berpandukan jam pembelajaran pelajar (student learning time, SLT).


Sumber:
  1. Surat Makluman MQA Bil. 3/2018 bertarikh 14 Februari 2018-Takrifan Kaedah Pengajian dan Kaedah Penyampaian Program Pendidikan Tinggi
  2. Surat Makluman MQA Bil. 2/2016 bertarikh 15 Februari 2016-Pelaksanaan Khas Tempoh Pembelajaran Melebihi 43 Minggu dan Beban Pembelaran Pelajar Melebihi 50 Kredit Setahun
  3. Surat Makluman JPT: JPT (A) 100/001/013/05 (17) bertarikh 27 Mac 2012-Surat Makluman Berkenaan Dasar Jaminan Kualiti yang Diputuskan Melalui Mesyuarat Kajian Semula Berkaitan Jaminan Kualiti Bil. 1/2011-3/2011

10) Adakah program Foundation boleh ditawarkan melebihi 50 kredit dalam masa setahun?

Tidak boleh. Pengendalian program Foundation perlu mematuhi syarat minimum seperti berikut:

  1. Beban pembelajaran pelajar bagi setahun pengajian adalah maksimum sebanyak 50 kredit;
  2. Tempoh minimum pengendalian program adalah setahun dan jumlah kredit bergraduat minimum 50 kredit; dan
  3. Pengendalian program tidak melebihi 43 minggu setahun (termasuk minggu peperiksaan dan ulang kaji).

Sumber:
  1. Surat Makluman MQA Bil. 2/2013 bertarikh 21 Januari 2013-Pengendalian Program Foundation

KURIKULUM



11) Apakah dasar yang perlu dipatuhi berkaitan dengan perubahan kurikulum?

Dasar berkenaan dengan perubahan kurikulum adalah seperti berikut:

  1. Perubahan kurikulum mesti dibuat melalui proses yang teratur dan diluluskan oleh pihak berautoriti Pemberi Pendidikan Tinggi (PPT) seperti Senat Universiti atau Lembaga Akademik Kolej.
  2. Setiap perubahan yang dibuat perlu mencerminkan penamaan program dan PPT perlu menyatakan justifikasi berkaitan perubahan kurikulum.
  3. Setiap perubahan kurikulum hendaklah mengambil kira keperluan yang terdapat dalam standard program sekiranya berkaitan.
  4. Peratusan perubahan kurikulum yang diambil kira adalah berdasarkan kurikulum asal seperti yang diluluskan.
  5. Perubahan yang melebihi 30% daripada keseluruhan kurikulum perlu mendapatkan kelulusan dari MQA. MQA akan membuat penilaian dari segi kesesuaiannya kerana kebiasaannya perubahan ini akan melibatkan hasil pembelajaran, matlamat program dan penamaan program. Setelah kelulusan MQA diperolehi, pihak PPT perlu memaklumkan kepada Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), KPM.
  6. Bagi permohonan perubahan kurikulum yang perlu dihantar ke MQA, PPT hendaklah mengemukakan dokumen seperti berikut:
      a) Justifikasi perubahan kurikulum;
      b) Maklumat skema pengajian kurikulum program yang telah diluluskan;
      c) Peratusan perubahan kurikulum dan jadual pemetaan kurikulum asal dan yang dipinda; dan
       d) Maklumat terperinci silibus untuk semua kursus yang terlibat dengan perubahan.

Catatan:
  1. Perubahan kurikulum boleh berlaku tidak terhad kepada perubahan hasil pembelajaran, objektif program dan penamaan program sahaja. Perubahan juga boleh berlaku apabila pihak PPT membuat perubahan atau menambah kursus yang ditawarkan, perubahan nilai kredit, perubahan agihan atau jenis penilaian dan sebagainya. PPT perlu mempunyai polisi sendiri yang jelas berkaitan perubahan kurikulum ini. MQA tidak menentukan secara spesifik tentang kaedah pengiraan peratusan perubahan kurikulum.
  2. Penawaran komponen U1 bagi Mata Pelajaran Pengajian Umum (MPU) tidak diambil kira memandangkan ia berlaku disebabkan oleh perubahan dasar semasa KPM.
  3. PPT yang berstatus swaakreditasi tidak perlu mengemukakan permohonan perubahan kurikulum kepada MQA kerana status tersebut membolehkan mereka melaksanakan perubahan kurikulum sendiri berdasarkan prosedur tertentu bagi program pengajian bukan profesional.

Sumber:
  1. Surat Makluman MQA Bil. 4/2018 bertarikh 8 Mac 2018-Perubahan Maklumat Program
  2. Surat Makluman MQA Bil. 5/2013 bertarikh 29 Julai 2013-Dasar Perubahan Kurikulum

12) Adakah PPT perlu memohon kelulusan sekiranya mengubah tempoh pengajian, perubahan nilai kredit bergraduat dan jumlah semester?

Ya. Sebarang perubahan yang dilakukan oleh PPT jika berbeza dengan Surat Kelulusan Pengendalian Program yang dikeluarkan oleh KPM atau pihak berautoriti yang berkenaan, PPT perlu maklumkan kepada pihak tersebut dengan salinan kepada MQA bagi tujuan kelulusan terhadap pindaan yang dilakukan.

Sekiranya perubahan yang dilaksanakan turut melibatkan struktur kurikulum, maka perubahan tersebut perlu dihantar kepada MQA sebagai makluman atau pun penilaian apabila perubahan kurikulum adalah 30% daripada kurikulum asal yang diluluskan. PPT juga perlu memaklumkan kepada MQA untuk pindaan maklumat di dalam Daftar Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Register, MQR).

Sumber:

  1. Surat Makluman MQA Bil. 4/2018 bertarikh 8 Mac 2018-Perubahan Maklumat Program

KELAYAKAN MASUK



13) Adakah pelajar yang mempunyai Ijazah Sarjana Muda (Tahap 6, MQF) boleh membuat kemasukan terus ke Ijazah Kedoktoran (Tahap 8, MQF) tanpa kelayakan Ijazah Sarjana (Tahap 7, MQF)?

Boleh. Graduan Sarjana Muda yang cemerlang boleh melanjutkan pengajian ke tahap Kedoktoran dengan kriteria berikut:

  1. Mempunyai Ijazah Sarjana Muda kelas Pertama atau setara; atau
  2. Mempunyai Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.67 atau setara (sama ada dari program akademik atau TVET); dan
  3. Penilaian dalaman yang rapi; dan
  4. Mendapat kelulusan daripada Senat dan diterima sebagai calon candidacy program Kedoktoran. Pelajar hendaklah menunjukkan kemajuan yang bersesuaian semasa tempoh candidature tersebut.
Tiada exit award sekiranya gagal penuhi pencapaian tahap Kedoktoran.

Sumber:
Surat Pekeliling MQA Bil. 3/2019 bertarikh 17 Julai 2019-Penambahbaikan Terhadap Standard: Ijazah Sarjana dan Kedoktoran

14) Bolehkah pelajar yang mempunyai dua kelayakan yang setara membuat penggabungan kelayakan untuk memenuhi syarat kelayakan masuk? (Contoh: SPM +O-Level atau STPM + A-Level)

Boleh. Penggabungan bagi kelayakan yang setara adalah dibolehkan dengan syarat kelayakan tersebut perlu memenuhi keperluan syarat lulus seperti yang ditetapkan. Gabungan adalah terhad kepada bagi dua kelayakan yang berbeza sahaja.

Sumber:
Kompilasi Dasar Jaminan Kualiti Pendidikan Tinggi (2009–2017), Bidang 4, Perkara 73—Kombinasi Keputusan Peperiksaan Sebagai Syarat Kelayakan Masuk

15) Bolehkah pelajar yang mempunyai kelayakan Certified Accounting Technician (CAT) memohon masuk ke program ijazah sarjana muda?

Tidak boleh. Kelayakan CAT hanya boleh digunakan sebagai kelayakan masuk ke program Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) sahaja.

16) Bolehkah kelayakan The London Chamber of Commerce and Industry (LCCI) (Tahap 1, 2 dan 3) digunakan untuk kemasukan ke program foundation?

Tidak boleh. Kelayakan LCCI (Tahap 1, 2 dan 3) adalah setara dengan kelayakan Sijil Tahap 3, MQF.

17) Adakah sijil APEL(A) diterima untuk kemasukan ke program badan profesional?

Penerimaan sijil APEL(A) untuk kemasukan ke program badan profesional adalah bergantung kepada ketetapan/amalan badan profesional berkaitan.

18) Bolehkah kelayakan Unified Examination Certificate (UEC) Senior Middle Three digunakan sebagai syarat kelayakan masuk ke program Diploma Eksekutif (Tahap 4, MQF)?

Boleh. Pada amnya kelayakan UEC Senior Middle Three dengan mendapat sekurang-kurangnya Gred B dalam tiga mata pelajaran adalah dibenarkan untuk kemasukan ke program Diploma Eksekutif dengan turut mengambil kira keperluan Standard Program yang berkaitan.

Sumber:
Kompilasi Dasar Jaminan Kualiti Pendidikan Tinggi (2009–2017), Bidang 4, Perkara 71—Syarat Kelayakan Masuk Menggunakan Unified Examination Certificate (UEC) Senior Middle Three (SM3) ke PPT Swasta

19) Bolehkah kelayakan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) digunakan sebagai syarat kelayakan masuk ke Ijazah Sarjana Muda (Tahap 6, MQF) selain bidang Pengajian Islam?

Secara amnya kelayakan STAM dengan pangkat Jayyid boleh diterima masuk ke program Ijazah Sarjana Muda. Walau bagaimanapun, ianya tertakluk kepada keperluan Standard Program bidang berkaitan atau keperluan badan profesional berkaitan.

20) Bolehkah PPT menawarkan bridging programme kepada pelajar yang tidak memenuhi kelayakan masuk minimum ke sesuatu program?

Tidak boleh. Pelajar perlu memenuhi syarat kelayakan masuk sesuatu program sebelum diterima masuk ke program berkaitan.

Bridging programme bukan bertujuan untuk menggantikan syarat kelayakan masuk. Ia adalah untuk memantapkan kompetensi pelajar dalam kursus tertentu.

Sumber:
Kompilasi Dasar Jaminan Kualiti Pendidikan Tinggi (2009–2017), Bidang 2, Perkara 51-Bridging

21) Bolehkah keputusan SPM digabungkan sebagai kelayakan masuk ke program pengajian? Apakah dasar yang berkaitan dengan tempoh sah laku dan penggabungan keputusan SPM?

Boleh. Keputusan SPM boleh digabungkan tertakluk kepada ketetapan berikut:

  1. Penggabungan dua atau lebih keputusan SPM adalah dibenarkan bagi peperiksaan SPM sijil terbuka iaitu bermula tahun 2000 dan tiada had masa ditetapkan bagi penggabungan keputusan ini; dan
  2. Penggabungan keputusan SPM tidak dibenarkan bagi peperiksaan SPM sijil tertutup (sebelum tahun 2000) kecuali keputusan SPM sijil penuh digabung dengan keputusan SPM Julai atau SPM ulangan sahaja.
Sumber:
1. Surat JPT: JPT.S(BPKP)2000/500/016/01 Jld: 3(35) bertarikh 14 April 2011

22) Seorang pelajar yang mempunyai dua kepujian dalam SPM dibenarkan untuk masuk ke program diploma (Tahap 4, MQF). Sewaktu dalam pengajian, beliau mengambil SPM ulangan untuk mencukupkan kredit beliau. Adakah situasi seperti ini dibenarkan?

Tidak boleh. Syarat kemasukan minimum untuk Diploma adalah memiliki SPM dengan tiga kepujian. Oleh itu, pelajar perlu memenuhi keperluan tersebut sebelum diterima masuk ke program Diploma.

Sumber:
Kompilasi Dasar Jaminan Kualiti Pendidikan Tinggi (2009–2017), Bidang 4, Perkara 62—Kelayakan Masuk Umum

PINDAH KREDIT DAN PENGECUALIAN KURSUS



23) Adakah pemindahan kredit bagi kelayakan Advanced Diploma (tahap 5, MQF) dibenarkan ke peringkat Ijazah Sarjana Muda (tahap 6, MQF)?

Pelajar yang memiliki kelayakan Advanced Diploma (Tahap 5, MQF) (yang turut memiliki Diploma, Tahap 4 MQF) boleh dipertimbangkan pindahan kredit sehingga maksimum dua tahun pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda (Tahap 6, MQF) tertakluk kepada Dasar Pindah Kredit.

Sumber:
Kompilasi Dasar Jaminan Kualiti Pendidikan Tinggi (2009–2017), Bidang 4, Perkara 97—Pindah Kredit

24) Bolehkah seseorang pelajar yang mempunyai kelayakan Foundation membuat pemindahan kredit ke peringkat diploma (Tahap 4, MQF) atau Ijazah Sarjana Muda (Tahap 6, MQF)?

Tidak boleh kerana program Foundation merupakan program persediaan ke peringkat ijazah Sarjana Muda (Tahap 6, MQF).

25) Apakah kaedah pindah kredit yang ditetapkan?

Pindah kredit boleh dilakukan dalam dua kategori seperti berikut:
1. Vertical - pemindahan kredit daripada peringkat rendah kelayakan ke peringkat kelayakan yang lebih tinggi. Sebagai contoh, pemindahan kredit daripada program diploma (Tahap 4, MQF) ke program ijazah sarjana muda (Tahap 6, MQF).

2. Horizontal - pemindahan kredit daripada program di tahap kelayakan yang sama.
Contoh adalah seperti berikut:
a) Sijil (Tahap 3, MQF) ke sijil (Tahap 3, MQF)
b) Diploma (Tahap 4, MQF) ke diploma (Tahap 4, MQF)
c) Ijazah sarjana muda (Tahap 6, MQF) ke ijazah sarjana muda (Tahap 6, MQF).
Kompilasi Dasar Jaminan Kualiti Pendidikan Tinggi (2009-2017), Bidang 4, Perkara 97-Pindah Kredit

26) Adakah pindah kredit secara horizontal di tahap yang sama, contoh: diploma (Tahap 4, MQF) ke diploma (Tahap 4, MQF) dibenarkan bagi pelajar yang ingin bertukar program?

Ya. Pindah kredit horizontal dibenarkan tertakluk kepada syarat-syarat umum pindah kredit seperti berikut:

  1. Gred lulus - gred minimum iaitu gred C;
  2. Nilai kredit - sama dengan nilai kredit kursus di IPT/program menerima;
  3. Kesetaraan kurikulum kursus - tidak kurang 80%; dan
  4. Kursus yang boleh dipindahkan kredit hendaklah daripada program yang telah mendapat Perakuan Akreditasi / diiktiraf oleh badan berautoriti di negara berkenaan (sekiranya melibatkan kelayakan luar negara).
  5. Tertakluk kepada syarat pemastatutin IPT penerima.

Sumber:
Kompilasi Dasar Jaminan Kualiti Pendidikan Tinggi (2009–2017), Bidang 4, Perkara 97—Pindah Kredit

27) Adakah pindah kredit secara vertical (ke tahap yang lebih tinggi, contoh: sijil (Tahap 3, MQF) ke diploma (Tahap 4, MQF) dibenarkan?

Pindah kredit secara vertical dibenarkan bagi peringkat sijil ke diploma dan juga diploma ke sarjana muda sehingga maksimum 30% daripada jumlah kredit bergraduat program yang akan diikuti.

Pengendalian pindah kredit yang dilakukan oleh PPT adalah tertakluk kepada syarat umum pindah kredit.

Sumber:
Kompilasi Dasar Jaminan Kualiti Pendidikan Tinggi (2009–2017), Bidang 4, Perkara 97—Pindah Kredit

28) Apakah yang dimaksudkan dengan program mobiliti dan apakah syarat-syaratnya?

Maksud program mobiliti ialah pelajar yang sedang mengikuti suatu program dan dalam masa yang sama mengambil beberapa kursus di PPT yang lain.

Syarat-syarat program mobiliti adalah seperti berikut:

  1. Transkrip pelajar hendaklah menyatakan kursus yang melibatkan pindahan kredit daripada PPT lain;
  2. Program yang disertai oleh pelajar telah diiktiraf atau mendapat Akreditasi di negara yang berkenaan; dan
  3. Silibus, struktur dan cara pemindahan kredit bagi satu-satu program akademik yang ditawarkan telah diselaraskan di antara PPT yang berkaitan.


Sumber:
Kompilasi Dasar Jaminan Kualiti Pendidikan Tinggi (2009-2017), Bidang 4, Perkara 100-Keperluan Program Mobiliti

30) Adakah pindah kredit dibenarkan bagi pelajar yang gagal program tetapi ingin melanjutkan pengajian ke program yang sama di institusi lain?

Pemindahan kredit tidak dibenarkan bagi pelajar gagal program.

Sumber:
Kompilasi Dasar Jaminan Kualiti Pendidikan Tinggi (2009-2017), Bidang 4, Perkara 97-Pindah Kredit

31) Gred lulus bagi tujuan pemindahan kredit adalah Gred C. Adakah pindah kredit boleh dilaksanakan sekiranya skala penggredan bagi dua institusi adalah berbeza? Sebagai contoh:

Gred C universiti A ialah bagi julat markah 50–59
Gred C universiti B ialah bagi julat markah 70–74

Skala penggredan yang berbeza boleh digunakan bagi tujuan pemindahan kredit kerana setiap PPT mempunyai polisi sistem penggredan masing-masing.

Sumber:
Kompilasi Dasar Jaminan Kualiti Pendidikan Tinggi (2009-2017), Bidang 4, Perkara 98-Pindah Kredit Dengan Gred dan Tanpa Gred

32) Gred lulus bagi tujuan pindah kredit adalah Gred C. Adakah pemindahan kredit dibenarkan sekiranya gred lulus kursus yang ditetapkan oleh PPT adalah Gred D?

Tidak dibenarkan.

Sumber:
Kompilasi Dasar Jaminan Kualiti Pendidikan Tinggi (2009-2017), Bidang 4, Perkara 97-Pindah Kredit, dan Perkara 98-Pindah Kredit Dengan Gred dan Tanpa Gred

33) Apakah ketetapan bagi menggantikan kursus yang telah mendapat pengecualian?
ATAU
Apakah kursus yang sesuai untuk menggantikan kursus yang telah mendapat pengecualian?

Ketetapan adalah seperti berikut:

  1. Kursus yang sama tahap dengan tahap program;
  2. Sekiranya program yang terlibat adalah program kerjasama, maka kursus tersebut boleh diambil sama ada dari program-program yang ditawarkan rakan kerjasama, atau dari program-program kerjasama yang lain; dan
  3. Kursus kokurikulum boleh dipertimbangkan;


Kursus berkaitan boleh diambil dari program yang telah mendapat Akreditasi Sementara atau Akreditasi.

Sumber:
Kompilasi Dasar Jaminan Kualiti Pendidikan Tinggi (2009-2017), Bidang 4, Perkara 105-Penambahan Kursus Bagi Menggantikan Kursus Yang Dikecualikan

34) Adakah pindah kredit daripada Diploma (Tahap 4, MQF) ke Ijazah Sarjana Muda (Tahap 6, MQF) dengan maksimum 30% termasuk Latihan Industri?

Pindah kredit 30% yang dibenarkan adalah tidak termasuk Latihan Industri kerana hasil pembelajaran Latihan Industri bagi setiap tahap program adalah berbeza.

LAIN-LAIN



35) Apakah dasar yang berkaitan dengan pengambilan staf akademik?

Dasar pengambilan staf akademik dinyatakan secara khusus di pelbagai dokumen iaitu:

  1. dasar MQA dan KPM;
  2. standard program bidang berkaitan; dan
  3. ketetapan badan profesional


Antara dokumen yang boleh dirujuk berkaitan dasar pengambilan staf akademik adalah:
  1. Buku kompilasi dasar keluaran MQA
  2. Standard Program bidang berkaitan
  3. Standard
  4. Kod Amalan Audit Institusi (Code of Practice for Institutional Audit, COPIA),
  5. Kod Amalan Akreditasi Program (Code of Practice for Programme Accreditation, COPPA);
  6. Kod Amalan Akreditasi Program: Pendidikan Jarak Jauh dan Terbuka (COPODL);
  7. Garis Panduan Staf Akademik (Guidelines to Good Practices (GGP) Academic Staff); dan
  8. Dokumen-dokumen lain yang berkaitan.

36) Bolehkah PPT memfrancaiskan program yang telah mendapat akreditasi penuh tetapi telah tamat tempoh atau tidak dikendalikan lagi?

Tidak. PPT hanya boleh memfrancaiskan program yang masih ditawarkan atau masih dalam tempoh akreditasi penuh.