
MQA bertangunggjawab melaksanakan jaminan kualiti dan akreditasi ke atas program dan kelayakan yang ditawarkan oleh Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tempatan agar mematuhi Kerangka Kelayakan Malaysia dan Kod Amalan Akreditasi Program yang telah ditetapkan. Selain itu, MQA juga melaksanakan penilaian taraf kelayakan akademik luar negara peringkat menengah bagi tujuan kemasukan ke IPT tempatan serta memastikannya selaras dengan syarat kelayakan masuk sepertimana yang ditetapkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Urusan menilai taraf kelayakan akademik dari luar negara telah dilaksanakan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) (dahulunya Lembaga Akreditasi Negara, LAN) sejak tahun 2002 lagi. Ia bertujuan untuk membantu IPT yang berhasrat mengambil pelajar dari luar negara untuk menyambung pengajian di IPT tempatan. Nilai taraf penting bagi memastikan kelayakan akademik yang digunakan oleh pelajar dari luar negara untuk kemasukan ke IPT boleh diterima secara prinsipnya dan adalah setaraf dengan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) ataupun STPM (Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia). Sekiranya ada di antara kelayakan ini ditawarkan oleh IPT tempatan, maka status penerimaannya sebagai kelayakan masuk adalah bergantung kepada status Kelulusan dan Standard Minimum daripada Sektor Pengurusan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (SP IPTS) serta Perakuan Akreditasi daripada MQA. IPT juga perlu mempertimbangkan gred yang diperoleh seseorang pemohon (pelajar) sebelum menerima masuk ke sesuatu program pengajian.
Sejajar dengan hasrat pendidikan tinggi negara untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan tinggi serantau, maka Bahagian Standard dan Rujukan Kelayakan, MQA telah menjalankan proses semakan semula terhadap "Senarai Nilai Taraf Kelayakan Akademik Luar Negara dan Perbandingannya dengan Kelayakan Akademik di Malaysia" sebelum ini untuk tujuan penambahbaikan dan bagi menjamin kecemerlangan kualiti pendidikan tinggi tempatan.
Walau bagaimanapun, merujuk kepada Surat Makluman MQA Bil.04/2009 bertarikh 5 Oktober 2009 yang telah diedarkan kepada semua IPT, pihak IPT telah diberi kebenaran untuk mengguna pakai senarai nilai taraf sedia ada bagi urusan pengambilan pelajar luar negara selepas 31 Disember 2009. Sehubungan itu, Surat Makluman MQA Bil.01/2009 bertarikh 19 Januari 2009 yang menyatakan tentang keperluan untuk mematuhi nilai taraf baharu berkuat kuasa pada 1 Januari 2010 adalah ditangguhkan sehingga dimaklumkan kelak.
Sila klik ikon di bawah untuk melihat Senarai Nilai Taraf Kelayakan Akademik Luar Negara dan Perbandingannya dengan Kelayakan Akademik di Malaysia.
Jika terdapat sebarang permasalahan atau pertanyaan berhubung dengan nilai taraf kelayakan luar negara peringkat menengah, sila hubungi kami di alamat seperti berikut;
Bahagian Koordinasi dan Rujukan Jaminan Kualiti
Agensi Kelayakan Malaysia (MQA)
Tingkat 7A, Menara PKNS-PJ 17,
Jalan Yong Shook Lin
46050 Petaling Jaya
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA
NOTE: Page only available in Malay version.