MQA Sepintas Lalu

Pada 21 Disember 2005, Kerajaan telah memutuskan untuk menggabungkan Lembaga Akreditasi Negara (LAN) dan Bahagian Jaminan Kualiti, Kementerian Pengajian Tinggi (BJK,KPT) menjadi sebuah entiti baru yang bertanggungjawab ke atas jaminan kualiti pengajian tinggi negara bagi sektor awam dan swasta.

Entiti berkenaan yang dinamakan sebagai Agensi Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Agency, MQA) telah ditubuhkan pada 1 November 2007 ekoran penguatkuasaan Akta Agensi Kelayakan Malaysia 2007 dan secara rasminya dilancarkan oleh YB Dato' Mustapa Mohamed, Menteri Pengajian Tinggi pada 2 November 2007.

Peranan utama MQA adalah untuk melaksanakan Kerangka Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Framework, MQF) sebagai landasan sistem jaminan kualiti pengajian tinggi dan titik rujukan kriteria dan standard kelayakan kebangsaan. MQA berperanan sebagai badan tunggal yang menyelia dan menyelaras jaminan kualiti dan akreditasi pendidikan tinggi negara.

Berikutan penubuhan MQA, LAN telah dibubarkan dan kakitangannya diserapkan ke dalam MQA.

Dengan visi untuk menjadi organisasi jaminan kualiti pengajian tinggi yang berwibawa dan diiktiraf di peringkat antarabangsa dan misi untuk memberi keyakinan kepada pihak berkepentingan melalui amalan bijak jaminan kualiti pengajian tinggi, MQA kini telah bersedia untuk menerokai sempadan-sempadan baru dalam jaminan kualiti pengajian tinggi

Fungsi

Sebagai badan jaminan kualiti, MQA berfungsi seperti berikut:

  • Melaksanakan MQF sebagai titik rujukan kelayakan Malaysia;
  • Membangunkan kriteria dan standard sebagai rujukan kebangsaan bagi penganugerahan kelayakan dengan kerjasama pelbagai pihak berkepentingan;
  • Menjamin kualiti institusi-institusi pengajian tinggi dan program-program;
  • Memberi perakuan akreditasi kepada program-program yang memenuhi kriteria dan standard yang ditetapkan;
  • Memudah cara pengiktirafan dan penyetaraan kelayakan; dan
  • Mengendalikan Daftar Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Register, MQR)
Sumbangan

Penubuhan MQA dan pelaksanaan MQF akan memberi manfaat kepada pengajian tinggi negara dan pembangunan insan amnya.

Secara ringkas, sumbangan MQA dan faedah dari pelaksanaan MQF adalah seperti yang digambarkan di bawah:

Untitled Document