Majlis Pelancaran Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL)

Pada 16 April 2012, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) telah menganjurkan Majlis Pelancaran Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (Accreditation of Prior Exprential Learning, APEL) bertempat di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur. Majlis yang bertemakan Learning Never Stops itu telah disempurnakan oleh YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pengajian Tinggi dan turut dihadiri oleh seramai 500 orang wakil institusi pengajian tinggi (IPT) dari seluruh Malaysia.

Majlis ini diadakan bagi menghebahkan tentang pelaksanaan APEL kepada pihak berkepentingan dan juga memaklumkan polisi APEL kepada umum. APEL merupakan satu program terbaharu yang diperkenalkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi selaras dengan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) bagi tujuan pemerkasaan pembelajaran sepanjang hayat di Malaysia. Secara khusus, sistem APEL ini membuka ruang akses pendidikan yang lebih luas bagi individu yang berkerjaya yang sebelumnya tidak berpeluang mengikuti pengajian tinggi.

Bersempena majlis tersebut, YB Menteri Pengajian Tinggi telah menyampaikan sijil kepada 5 orang calon pelajar yang telah lulus penilaian APEL dan turut melancarkan dokumen seperti Buku Garis Panduan Amalan Bijak, Buku Panduan dan Brosur berkaitan APEL.

Kementerian Pengajian Tinggi dan MQA berharap inisiatif yang dilaksanakan menerusi APEL mendapat kerjasama dan sokongan padu daripada pelbagai pihak untuk menjayakannya.

Untitled Document