Header
 

Daftar Kelayakan Malaysia (MQR)

Pengenalan

Seksyen 81 Akta Agensi Kelayakan Malaysia 2007 (Akta 679) memperuntukkan Agensi Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Agency, MQA) mengadakan dan menyenggarakan satu daftar kebangsaan iaitu Daftar Kelayakan Malaysia atau Malaysian Qualifications Register (MQR) yang mengandungi kelayakan yang dianugerahkan oleh pemberi pendidikan tinggi dan diakredit di bawah Akta tersebut. 

MQR merupakan sumber rujukan dan panduan berkaitan program pendidikan tinggi yang telah diakreditkan dan dianugerahkan oleh pemberi pendidikan tinggi samada dari dalam atau luar negara. Program atau kelayakan ini hendaklah selaras dengan Kerangka Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Framework, MQF) dan termasuk semua peringkat iaitu sijil, diploma, diploma lanjutan dan ijazah atau yang setaraf dengannya.

 

Tujuan

MQR bertujuan untuk:

(i) menyediakan maklumat mengenai semua kelayakan berdasarkan program yang telah diakreditkan;
(ii) membolehkan semua pihak berkepentingan mengetahui, memahami serta membuat perbandingan mengenai ciri-ciri
     sesuatu kelayakan dan hubungkaitnya dengan kelayakan yang lain;
(iii) memudahkan proses pemindahan kredit.

 

Kandungan MQR

Pada masa sekarang, maklumat yang terdapat dalam MQR adalah seperti berikut:

(i) nama dan alamat institusi pendidikan tinggi (IPT)
(ii) nombor rujukan kelayakan
(iii) nama kelayakan
(iv) bidang kelayakan
(v) tempoh sah laku
(vi) tahap kelayakan dan
(vii) jam kredit bergraduat.

Maklumat tambahan seperti penyataan hasil pembelajaran program, syarat kelayakan masuk dan sebagainya akan dimasukkan dari semasa ke semasa.

MQR adalah antara perkara utama dalam MQF. Peranannya adalah sangat penting khususnya dalam memastikan setiap kelayakan pendidikan tinggi yang mencapai tahap akreditasi didaftarkan dalamnya dan menjadi rujukan yang lengkap oleh semua pihak yang memerlukannya. Pemberi pendidikan tinggi samada dari dalam atau luar negara boleh memohon untuk mendaftarkan sesuatu kelayakan pengajian tinggi yang dianugerahkannya dalam MQR, dengan syarat ianya memenuhi standard dan kriteria yang ditetapkan dan diakreditkan.

MQR juga akan memaparkan jam kredit bagi setiap kelayakan atau program yang diakredit yang bertujuan memudahkan proses pemindahan kredit iaitu daripada satu tahap kepada tahap yang lain.

Maklumat dalam MQR juga boleh digunakan untuk mengeluarkan perakuan atau pernyataan yang jelas tentang sesuatu kelayakan yang telah didaftarkan. Pihak yang berkepentingan termasuk masyarakat umum boleh merujuk kepada MQR untuk mendapatkan pengesahan mengenai status sesuatu kelayakan. Cabutan daripada Daftar Kelayakan ini boleh dikeluarkan tertakluk kepada permintaan pihak berkenaan.

 
 
   
footer

  

PENAFIAN : Kerajaan Malaysia dan Agensi Kelayakan Malaysia tidak akan bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan daripada penggunaan sebarang maklumat yang diperolehi
daripada laman web ini.
  

  Paparan terbaik menggunakan Mozilla Firefox dengan resolusi 1024x768 piksel
 Hak Cipta Terpelihara © 2009 - Daftar Kelayakan Malaysia, MQA -