PROGRAM perkongsian kepakaran MQA bersama-sama agensi jaminan kualiti luar negara diteruskan lagi. Kali ini ia melibatkan para pegawai akreditasi Accrediting Agency of Charted Colleges and Universities in the Philippines (AACCUP) yang menyertai Academic Performance Audit (APA) sebagai pemerhati bermula dari 12 April sehingga 15 April 2010.
Delegasi AACCUP diketuai oleh Dr Mario S. Suba dan disertai tiga lagi rakan beliau iaitu Dr Raul S. Muyong, Dr Maria Teresa SJ. Valdez dan Dr. Rosana Grace B. Belo.
Kesemua mereka telah menjalani program pemerhatian ini di International Medical University (IMU), Kuala Lumpur bersama-sama Panel Auditor Kluster 12 yang diketuai oleh Y.Bhg Dato’ Dr Adnan Alias.
Sehari sebelum program pemerhatian ini berlangsung di IMU iaitu pada 12 April, mereka telah dibawa bertemu dengan Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Dato’ Dr Syed Ahmad Hussein dan timbalannya Prof Zita Mohd Fahmi sebagai tanda keakraban antara kedua-dua agensi ini selain diberi taklimat ringkas tentang program APA oleh Pengarah Bahagian Audit Institusi iaitu En. Najmi Mohd Noor.
Mereka turut berpeluang melihat dokumen-dokumen yang berkaitan dengan APA sebagai sebahagian daripada pengisian bagi self review dan di bawa melawat ke setiap bahagian serta unit yang menjadi penggerak MQA pada hari yang sama.
Menurut Dr Mario, mereka amat berterima kasih kepada MQA kerana sudi berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam bidang audit institusi.
Menurut beliau lagi, program APA ini adalah sesuatu yang baru buat AACCUP dan mereka bercadang untuk menjemput wakil MQA ke Filipina pada masa akan datang bagi menyampaikan taklimat tentang audit institusi ini kepada para pegawai akreditasi AACCUP.
Dalam masa yang sama, Dr Mario turut menyatakan kekaguman beliau tentang proses kerja akreditasi MQA selain memuji peranan MQA dalam menjadikan status akreditasi sesuatu yang bernilai buat IPT tempatan.
Program empat hari ini diakhiri dengan mesyuarat penutup di mana para pegawai AACCUP berkongsi pengalaman mereka sewaktu di IMU dan mendapatkan penjelasan lanjut tentang beberapa perkara berkaitan pelaksanaan audit institusi.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh En. Najmi Mohd Noor berlangsung hampir sejam ini dan ditamatkan dengan acara penyampaian sijil penghargaan kepada para perserta.
Penafian | Notis Hak Cipta | Terma & Syarat | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan | Bantuan
Hakcipta Terpelihara © 2010 Agensi Kelayakan Malaysia | Tingkat 14B, Menara PKNS-PJ, 17, Jalan Yong Shook Lin, 46050 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA
+603 - 7968 7002 |
+603 - 7956 9496 | webadmin
mqa.gov.my
Paparan terbaik menggunakan Firefox 3.0+ dan Internet Explorer 7.0+.