AGENSI Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Agency, MQA) terus mengukuhkan hubungan kerjasama di peringkat antarabangsa apabila menerima kunjungan wakil Quality Assurance Agency (QAA) United Kingdom dan Thai General Education Network (Thai GE Network) Thailand pada 24 Mac lalu.
Kunjungan QAA UK telah diketuai Penolong Pengarahnya, Will Naylor dan disertai oleh Shona Patterson dan Alan Bradshaw. Sewaktu lawatan berlangsung, delegasi QAA telah menyampaikan dua taklimat yang bertajuk QAA Overseas Audit in Malaysia dan The Future of Institutional Audit in England and Northern Ireland kepada para pegawai MQA. Taklimat yang diberi banyak tertumpu kepada hasil dapatan audit yang dijalankan terhadap universiti-universiti tempatan yang menjalankan program berkembar dengan universiti-universiti dari United Kingdom.
Perbincangan di antara Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof. Zita Mohd Fahmi dan delegasi QAA turut diadakan sejurus sahaja sesi taklimat berakhir. Antara perkara yang dibangkitkan ialah perkongsian maklumat tentang pembangunan kerangka kelayakan negara masing-masing, Student Learning Time (SLT) dan bidang-bidang berkaitan audit institusi.
Sementara itu, kunjungan delegasi Thai GE Network seramai 42 orang pada sebelah petangnya telah diraikan oleh Y.Bhg Dato’ Dr Syed Ahmad Hussein, Ketua Pegawai Eksekutif MQA. Delegasi yang merupakan komuniti pentadbir dan golongan akademik yang mewakili 18 buah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Thailand telah diketuai oleh pengerusinya iaitu Asst. Prof. MR Kalaya Tingsabadh.
Tujuan utama lawatan adalah untuk bertukar-tukar maklumat dan pengalaman dalam menjalankan amalan terbaik jaminan kualiti negara masing-masing. Selain itu, delegasi ini turut diberi penerangan tentang mekanisme yang dijalankan MQA bagi memastikan setiap IPT di negara ini mengamalkan prinsip yang terkandung di dalam Kerangka Kelayakan Malaysia.
Penafian | Notis Hak Cipta | Terma & Syarat | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan | Bantuan
Hakcipta Terpelihara © 2010 Agensi Kelayakan Malaysia | Tingkat 14B, Menara PKNS-PJ, 17, Jalan Yong Shook Lin, 46050 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA
+603 - 7968 7002 |
+603 - 7956 9496 | webadmin
mqa.gov.my
Paparan terbaik menggunakan Firefox 3.0+ dan Internet Explorer 7.0+.