Y.B Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pengajian Tinggi telah melantik Tan Sri Dato’ Dr. Mohamed Salleh Mohamed Yasin sebagai Pengerusi Majlis Agensi Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Agency, MQA) bagi menggantikan Tan Sri Dr. Muhammad Rais Abdul Karim yang tamat perkhidmatannya pada 31 Oktober 2009.
Perlantikan Tan Sri Dato’ Dr. Mohamed Salleh ini berkuatkuasa dari 1 Januari 2010 hingga 31 Disember 2013. Turut dilantik adalah seorang timbalan pengerusi dan 16 orang ahli Majlis bagi tempoh yang sama.
Tan Sri Dato’ Dr. Mohamed Salleh sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Timbalan Pengerusi Majlis MQA selama dua tahun (2007 hingga 2009). Beliau juga pernah menjawat jawatan Pengerusi merangkap Ketua Eksekutif Lembaga Akreditasi Negara, LAN (kini dikenali sebagai MQA) dari 28 Ogos 2006 sehinggalah 1 Mac 2007.
Beliau merupakan seorang ahli akademik yang berpengetahuan luas dalam bidang pendidikan tinggi selama hampir 30 tahun.
Karier pertama beliau bermula pada tahun 1980 apabila dilantik sebagai pensyarah Fakulti Perubatan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Jawatan akhir beliau di UKM sebelum dilantik sebagai Pengerusi merangkap Ketua Eksekutif LAN pada 28 Ogos 2006 adalah Naib Canselor.
Beliau kini merupakan Pengarah United Nations University – International Institute for Global Health (UNU-IIGH) yang ditubuhkan pada 1 Mac 2007.
Kementerian Pengajian Tinggi percaya bahawa Tan Sri Dato’ Dr. Mohamed Salleh adalah calon yang paling sesuai bagi menerajui Majlis MQA. Perlantikan beliau diharap dapat membawa MQA ke tahap yang lebih tinggi terutama dalam usaha mendapatkan pengiktirafan antarabangsa ke atas status akreditasi yang dikeluarkan oleh MQA.
Pengiktirafan antarabangsa tersebut akan membantu meletakkan Malaysia sebaris dengan negara-negara yang telah lama menjadi hab kecemerlangan pengajian tinggi antarabangsa.
Sebagai Pengerusi Majlis MQA, Tan Sri Dato’ Dr. Mohamed Salleh turut bertanggungjawab mengenai kelulusan rancangan dan dasar bagi pengurusan MQA dan kelulusan tentang apa-apa pindaan atau pengemaskinian Kerangka Kelayakan Malaysia.
Beliau juga bertanggungjawab dalam kelulusan dasar dan garis panduan yang berhubungan dengan akreditasi program, kelayakan atau pemberi pendidikan tinggi atau audit institusi.
Sebarang perkara yang berhubungan dengan fungsi, kuasa, kewajipan, saraan, elaun, honorarium, faedah dan tatakelakuan pegawai, pekerja, ejen dan pakar perunding Agensi akan turut dirujuk kepada Majlis yang dipengerusikan oleh beliau.
Penafian | Notis Hak Cipta | Terma & Syarat | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan | Bantuan
Hakcipta Terpelihara © 2010 Agensi Kelayakan Malaysia | Tingkat 14B, Menara PKNS-PJ, 17, Jalan Yong Shook Lin, 46050 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA
+603 - 7968 7002 |
+603 - 7956 9496 | webadmin
mqa.gov.my
Paparan terbaik menggunakan Firefox 3.0+ dan Internet Explorer 7.0+.