NOTE : Page only available in Malay version

Soalan-Soalan Lazim:
PEMINDAHAN KREDIT DAN PENGECUALIAN KURSUS

Soalan-Soalan Lazim: Pemindahan Kredit dan Pengecualian Kursus ini adalah kompilasi soalan yang sering diajukan oleh stakeholders kepada MQA. Kompilasi ini dibuat berdasarkan dasar-dasar semasa seperti Pekeliling MQA Bil. 2/2010 - Pemindahan Kredit Bagi Program Sijil ke Program Diploma bertarikh 28 Disember 2010; Surat Makluman Berkenaan Dasar Jaminan Kualiti Yang Diputuskan Melalui Mesyuarat Kajian Semula Dasar-Dasar Berkaitan Jaminan Kualiti Bil. 1/2011-3/2011 bertarikh 27 Mac 2012 yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPTM) kepada semua Pemberi Pendidikan Tinggi (PPT); dan dasar-dasar Mata Pelajaran Wajib yang dikeluarkan oleh KPTM. Sehubungan itu, kompilasi soalan-soalan lazim ini diharap dapat digunakan bagi melancarkan lagi proses jaminan kualiti semua PPT.

Sebarang pertanyaan berkenaan Soalan-Soalan Lazim: Pemindahan Kredit dan Pengecualian Kursus ini boleh dikemukakan kepada Pn. Najihah As'ari di talian 03-79683463; emel najihah[at]mqa.gov.my.

Bahagian Dasar dan Penyelidikan
Sektor Pembangunan Dasar dan Kepakaran
Agensi Kelayakan Malaysia
2012

SOALAN-SOALAN LAZIM

Pemindahan Kredit Secara Menegak (Vertical)

Pemindahan Kredit Secara Melintang (Horizontal)

Jawapan

  • Apakah maksud pemindahan kredit?

    Pemindahan kredit adalah proses memindahkan kredit kursus yang telah diambil oleh pelajar dalam sesuatu program ke program lain yang membawa kepada penganugerahan kelayakan yang ditawarkan oleh institusi yang sama atau institusi yang berbeza. Proses ini membolehkan kredit bagi kursus tersebut dikira sebagai sebahagian daripada keperluan kredit bergraduat program tersebut. Pada asasnya, kursus yang boleh dipindahkan kredit adalah kursus yang setara dengan kursus di program yang membawa kepada penganugerahan kelayakan.

    Sebagai contoh, seorang pelajar telah mengambil dan lulus kursus Fundamental of Finance dalam program Diploma in Business Studies. Kemudian pelajar ini menukar ke program baru iaitu Diploma in Management yang mempunyai kursus Fundamental of Finance. Pemindahan kredit bagi kursus Fundamental of Finance ke program Diploma in Management hanya boleh dilakukan sekiranya perbandingan antara kedua-dua kursus ini didapati setara (subject mapping).

    Terdapat 2 kategori bagi pemindahan kredit iaitu:

    1. Menegak (Vertical) - pemindahan kredit daripada satu program ke program di tahap yang lebih tinggi seperti daripada Diploma ke Ijazah Sarjana Muda.
    2. Melintang (Horizontal) - pemindahan kredit daripada satu program ke program di tahap yang sama seperti daripada Diploma ke Diploma.

    Nota: Pemindahan kredit dari peringkat Sijil ke Diploma adalah tidak lagi dibenarkan, tertakluk kepada Pekeliling MQA Bil. 2/2010 Pemindahan Kredit Bagi Program Sijil ke Program Diploma.

  • Apakah maksud pengecualian kursus?

    Pengecualian kursus ialah proses mengecualikan seseorang pelajar daripada mengambil kursus dalam program yang diikuti atas sebab-sebab tertentu. Pengecualian ini tidak menyebabkan pelajar mendapat kredit bagi kursus yang dikecualikan. Oleh itu, pelajar perlu menggantikan kursus yang dikecualikan dengan kursus lain bagi mencukupkan keperluan kredit bergraduat.

    Contoh 1:
    Seorang pelajar yang telah mendapat kredit/kepujian dalam kursus Bahasa Melayu di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) adalah dikecualikan untuk mengambil Bahasa Kebangsaan di peringkat pengajian tinggi. Walau bagaimanapun, pelajar perlu mengambil kursus lain untuk menggantikan kursus yang dikecualikan bagi mencukupkan keperluan kredit bergraduat program yang diikuti.

    Contoh 2:
    Seorang pelajar Arab Saudi yang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Usuluddin adalah dikecualikan mengambil kursus Bahasa Arab yang ditawarkan dalam program tersebut memandangkan pelajar telah kompeten dalam bahasa tersebut. Walau bagaimanapun, pelajar tersebut perlu mengambil kursus lain untuk menggantikan kursus yang dikecualikan bagi mencukupkan keperluan kredit bergraduat program yang diikuti.


  • Apakah perbezaan antara pemindahan kredit dan pengecualian kursus?

    PEMINDAHAN KREDIT PENGECUALIAN KURSUS

    Proses pemindahan kredit membolehkan kredit bagi kursus tersebut dikira sebagai sebahagian daripada keperluan kredit bergraduat program yang baru.

    Pengecualian kursus tidak membawa sebarang nilai kredit. Oleh itu, pelajar perlu mengambil kursus lain bagi mencukupkan keperluan kredit bergraduat.


  • Apakah kriteria atau syarat-syarat yang membolehkan sesuatu kursus diberi pemindahan kredit?

    Seseorang pelajar yang telah mengambil dan lulus sesuatu kursus dalam sesuatu program pengajian, boleh memohon memindahkan kredit kursus tersebut ke program pengajian yang baru tertakluk kepada syarat-syarat berikut:

    1. Kesetaraan Kurikulum/silibus - kesetaraan kurikulum/silibus antara kursus yang hendak dipindahkan kredit dan kursus yang dibuat perbandingan hendaklah sekurang-sekurangnya 80%;
    2. Gred Lulus - pelajar perlu mencapai sekurang-kurangnya gred C bagi kursus tersebut;
    3. Nilai Kredit - kursus yang diberi pemindahan kredit mempunyai nilai kredit yang setara dengan kursus program yang akan diikuti.
    4. Akreditasi - kursus yang diberi pemindahan kredit mestilah daripada program yang mendapat akreditasi. Bagi program yang diambil di luar negara, program tersebut hendaklah dari program yang diiktiraf oleh pihak berkaitan di negara berkenaan.

    PPT juga boleh menetapkan syarat-syarat tambahan selagi ianya tidak bercanggah dengan syarat di atas.

  • Apakah jenis kursus yang boleh ditambah bagi menggantikan kursus yang mendapat pengecualian?

    Penambahan kursus ke dalam sesuatu program pengajian bagi membolehkan pelajar yang mendapat pengecualian kursus memenuhi keperluan kredit bergraduat adalah dibenarkan dengan syarat-syarat seperti berikut:

    1. Kursus yang ditambah mestilah daripada kursus yang sama tahap dengan program yang ditawarkan.
    2. Sekiranya program yang terlibat adalah program kerjasama, maka kursus yang ditambah boleh diambil sama ada daripada program-program yang ditawarkan rakan kerjasama tersebut, atau daripada program-program kerjasama yang lain.
    3. Penambahan kursus kokurikulum juga dibenarkan.

    Sekiranya kursus tambahan ini diambil dari program yang telah mendapat provisional atau akreditasi, maka kursus tersebut tidak perlu dinilai oleh MQA. Walau bagaimanapun, sekiranya PPT menawarkan kursus baru, maka kursus tersebut perlu dinilai oleh MQA.

Pemindahan Kredit Secara Menegak (Vertical)

  • Adakah pemindahan kredit dibenarkan daripada Diploma ke Ijazah Sarjana Muda?

    Pindah kredit daripada Diploma ke Ijazah Sarjana Muda dibenarkan sehingga maksimum 30% (lebih kurang 1 tahun pengajian) daripada jumlah kredit program yang akan diikuti.

  • Bolehkah kelayakan Advanced Diploma mendapat pemindahan kredit ke program Ijazah Sarjana Muda?

    Pelajar yang berkelayakan Advanced Diploma (yang turut memiliki Diploma) boleh dipertimbangkan pemindahan kredit sehingga maksimum dua tahun pengajian program peringkat Ijazah Sarjana Muda. Oleh itu, pelajar akan mengikuti tahun ketiga program Ijazah Sarjana Muda.

  • Adakah pemindahan kredit dibenarkan bagi pemegang kelayakan yang lebih tinggi (contoh: Ijazah Sarjana Muda) untuk mengikuti program yang lebih rendah peringkatnya (contoh: Diploma)

    Pemindahan kredit tidak dibenarkan daripada program peringkat lebih tinggi ke program peringkat yang lebih rendah.

  • Bolehkah pemindahan kredit dilakukan dari Sijil ke Diploma?

    Pindah Kredit daripada Sijil ke Diploma dibenarkan dengan pindahan maksimum sebanyak 30% daripada jumlah kredit program yang akan diikuti.

  • Memandangkan pemindahan kredit tidak dibenarkan dari peringkat Sijil ke Diploma, adakah pelajar yang telah mengambil dan lulus MPW di peringkat Sijil masih dikehendaki mengambil MPW di peringkat Diploma?

    Memandangkan pemindahan kredit tidak dibenarkan dari peringkat Sijil ke Diploma, pelajar yang telah mengambil dan lulus MPW di peringkat Sijil tidak boleh memindahkan kredit MPW ke peringkat Diploma.

    Pada masa yang sama, pelajar juga tidak boleh mengambil semula MPW tersebut di peringkat Diploma. Oleh itu, mereka adalah dikecualiakan daripada mengambil MPW.

    Bagi menampung kekurangan kredit disebabkan pelajar tidak mengambil MPW di peringkat Diploma, maka pelajar perlu mengambil kursus tambahan lain bagi mencukupkan keperluan kredit bergraduat.

    Jawapan di atas adalah berasaskan kepada dasar di bawah:

    1. Dasar KPT menetapkan program-program pengajian tinggi (termasuk peringkat Sijil) perlu menawarkan MPW dan pelajar warganegara Malaysia perlu mengambil dan lulus MPW tersebut.
    2. Dasar KPT juga menetapkan sekiranya seseorang pelajar telah ambil dan lulus MPW, pelajar tersebut tidak perlu mengambilnya semula
    3. Setiap pelajar mesti melengkapkan atau mempunyai cukup kredit seperti yang ditetapkan bagi melayakkannya dianugerahkan sesuatu kelayakan seperti Sijil, Diploma atau Ijazah.

  • Bolehkah pelajar warganegara yang mengambil Mata Pelajaran Wajib (MPW) pada tahap Foundation/Pra-Universiti memindahkan kredit untuk MPW ini ke tahap lebih tinggi iaitu Ijazah Sarjana Muda?

    Tiada pemindahan kredit dibenarkan. Peringkat Foundation/ Pra-Universiti/ Matrikulasi/ Asasi/ A-Level dan kelayakan seumpamanya merupakan kelayakan masuk ke peringkat Ijazah Sarjana Muda.

    Walau bagaimanapun, selari dengan dasar KPT, pelajar yang telah mengambil MPW di peringkat Foundation/ Pra-Universiti/ Matrikulasi/ Asasi/ A-Level dan kelayakan seumpamanya boleh dikecualikan daripada mengambil MPW di peringkat Ijazah Sarjana Muda tetapi hendaklah mencukupkan keperluan kredit bergraduat program.

  • Bolehkah MPW yang telah diambil dan lulus pada peringkat Diploma dipindahkan kredit ke peringkat Ijazah Sarjana Muda?

    Pelajar boleh memindahkan kredit bagi MPW (Pengajian Malaysia, Pengajian Islam, Pendidikan Moral) dari peringkat Diploma ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dengan tertakluk kepada syarat-syarat pindah kredit. MPW ini juga termasuk dalam pengiraan 30% maksimum pemindahan kredit yang dibenarkan.

  • Bolehkah seseorang pelajar yang mempunyai kelayakan Foundation membuat pemindahan kredit ke peringkat Diploma?

    Pemindahan kredit tidak dibenarkan. Hal ini kerana program Foundation merupakan kelayakan kemasukan ke peringkat Ijazah Sarjana Muda.

Pemindahan Kredit Secara Melintang (Horizontal)

  • Jika seorang pelajar telah gagal dan diberhentikan, tetapi ingin melanjutkan pengajian dalam program yang lain di peringkat yang sama, adakah pelajar tersebut dibenarkan untuk membuat pemindahan kredit?

    Tidak, pemindahan kredit tidak dibenarkan (termasuk bagi MPW) bagi pelajar yang telah gagal dan diberhentikan daripada program tersebut sama ada pelajar ingin menyambung pengajian di PPT yang sama atau yang berbeza.

    Oleh itu pelajar perlu bermula semula sebagai satu program yang baru iaitu daripada semester 1.

  • Jika seorang pelajar berhenti daripada pengajian atas sebab-sebab tertentu seperti masalah kewangan atau kesihatan (bukan atas sebab akademik) dan ingin menyambung semula pengajian dalam program yang lain di peringkat yang sama, adakah pelajar tersebut dibenarkan untuk membuat pemindahan kredit?

    Pemindahan kredit bagi situasi ini boleh dipertimbangkan dengan tertakluk kepada syarat pindah kredit. Lazimnya, currency of knowledge bagi sesuatu program adalah sekitar 5 tahun.

    Dalam hal ini, terdapat dua keadaan berbeza iaitu:

    1. PPT yang sama - sekiranya pelajar ingin menyambung pengajiannya di PPT yang sama, tiada had pemindahan kredit dengan tertakluk kepada syarat pindah kredit.
    2. PPT yang berbeza - sekiranya pelajar tersebut menyambung pengajian di PPT yang berbeza, maka pemindahan kredit adalah tertakluk kepada syarat permastautin pelajar (residential year) iaitu:
      1. Ijazah sarjana muda - 1 tahun
      2. Diploma - 1 semester
      3. Sijil - 1 semester

    Sebagai contoh, seorang pelajar progam Ijazah Sarjana Muda Sains Matematik berhenti daripada pengajiannya disebabkan masalah kesihatan. Kemudian, pelajar ini ingin menyambung semula pengajiannya dalam program Ijazah Sarjana Muda Statistik di PPT yang lain. Dalam situasi ini, pelajar tersebut boleh dipertimbangkan membuat pemindahan kredit tetapi perlu mengikuti pengajiannya di PPT yang baru itu sekurang-kurangnya 1 tahun pengajian sebelum dianugerahkan kelayakan.

  • Seorang pelajar sedang mengikuti suatu program dan dalam tempoh pengajian, pelajar tersebut mengambil beberapa kursus di PPT yang lain (contoh: program pertukaran pelajar/program mobility). Bolehkah pelajar ini memindahkan kredit bagi kursus yang diambil di PPT lain itu untuk dikira dalam keperluan kredit bergraduatnya?

    Pelajar ini boleh dipertimbangkan mendapat pemindahan kredit namun ianya hendaklah tidak melebihi 1/3 daripada jumlah kredit program pengajian dan ianya adalah berdasarkan persetujuan antara kedua-dua PPT.

    Contoh: seorang pelajar program Ijazah Sarjana Muda Bioteknologi di Universiti Y (125 kredit) mengikuti program pertukaran pelajar di universiti X selama satu tahun (45 kredit) boleh dipertimbangkan mendapat pemindahan kredit sebanyak 41 kredit (1/3 daripada 125 kredit) tertakluk kepada persetujuan kedua-dua PPT.

  • Seorang pelajar telah memiliki kelayakan (contoh Diploma Kulinari) dan ingin melanjutkan pengajian kali kedua dalam peringkat yang sama (contoh Diploma Perhotelan). Adakah pelajar tersebut boleh membuat pemindahan kredit?

    Tiada had pindah kredit ditetapkan bagi pelajar yang melanjutkan pengajian kali kedua di IPT yang sama.

    Bagi pelajar yang melanjutkan pengajian kali kedua di IPT berbeza,tempoh permastautin pelajar (residential year) adalah iaitu:

    1. Ijazah Sarjana/PHD - 1 semester
    2. Ijazah Sarjana Muda - 1 tahun
    3. Diploma dan Sijil - 1 semester




  • Sekiranya seorang pelajar sedang mengikuti program dan ingin menukar program lain dalam bidang yang sama dengan program yang sedang diikuti, adakah pelajar tersebut boleh memindahkan kredit bagi kursus yang telah diikutinya?

    Pemindahan kredit adalah dibenarkan. Terdapat dua keadaan berbeza iaitu:

    1. Pemindahan kredit berlaku di PPT yang sama: tiada had pemindahan kredit dengan tertakluk kepada syarat pindah kredit.
    2. Pemindahan kredit berlaku antara PPT yang berbeza: sekiranya pelajar menukar program di PPT yang berbeza, pelajar tersebut perlu patuh kepada syarat permastautin pelajar.
      Ijazah Sarjana Muda - 1 tahun
      Diploma - 1 semester
      Sijil - 1 semester

  • MALAYSIAN QUALIFICATIONS AGENCY
    Tingkat 14B, Menara PKNS-PJ,
    17, Jalan Yong Shook Lin,
    46050 Petaling Jaya,
    Selangor Darul Ehsan

    +603 - 7968 7002
    (webadmin[at]mqa.gov.my)

www.mqa.gov.my