NOTE : Page only available in Malay version

Soalan-Soalan Lazim

Jawapan

  • Apakah perbezaan antara akreditasi di bawah Lembaga Akreditasi Negara (LAN) dan akreditasi di bawah Agensi Kelayakan Malaysia (MQA)?

    Proses akreditasi LAN dan MQA berbeza dari aspek pematuhan Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF). Akreditasi oleh MQA mensyaratkan setiap program yang dinilai mematuhi MQF. Aspek ini tidak diambil kira semasa LAN kerana pada waktu itu MQF belum diperkenalkan. Untuk maklumat lanjut mengenai MQF, sila klik di sini.

  • Bagaimana akreditasi MQA dapat memastikan pematuhan MQF?

    Akreditasi MQA dapat memastikan program pengajian tinggi yang ditawarkan di Malaysia mematuhi MQF melalui semakan sembilan aspek utama proses pengajaran dan pembelajaran di Pemberi Pengajian Tinggi (PPT). Sembilan proses ini diterangkan dengan lebih lanjut dalam dokumen-dokumen jaminan kualiti berikut:

    1. COPPA
    2. COPIA
    3. Standard Program
    4. Garis Panduan Amalan Baik

  • Adakah sistem akreditasi MQA merupakan penilaian one off atau berterusan?

    Sistem akreditasi MQA adalah merupakan satu proses berterusan yang melibatkan tiga fasa penilaian berikut:

    1. proses pertama dikenali sebagai akreditasi sementara yang dilaksanakan sebelum sesuatu program di tawarkan. Ia dinilai berdasarkan kemantapan kurikulum yang dibangunkan dan perancangan pengendalian program. Ia disifatkan sebagai candidancy evaluation;
    2. proses kedua adalah akreditasi penuh yang dijalankan apabila cohort pertama pelajar berada di tahun atau semester akhir pengajian. Proses ini dilaksanakan bagi menyemak pematuhan MQF dan standard-standard pendidikan yang ditetapkan berdasarkan kepada bukti-bukti pengendalian sebenar program;
    3. proses ketiga pula adalah audit pematuhan akreditasi yang dilaksanakan sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh lima tahun (bergantung kepada keperluan bidang pengajian selagi mana program tersebut mengekalkan akreditasinya).

    Untuk maklumat lanjut mengenai proses akreditasi, sila rujuk di sini.


  • Apakah perbezaan di antara kelulusan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan Akreditasi MQA?

    Pada prinsipnya, pihak KPT mempertimbangkan kelulusan sesuatu pengajian berdasarkan pengesahan kualiti yang dilaksanakan oleh MQA melalui proses akreditasi.

    Akreditasi sementara diambil kira oleh KPT bagi mempertimbangkan permohonan kelulusan daripada Pemberi Pengajian Tinggi (PPT) untuk menawarkan program baru.

    Akreditasi dan pengekalan status akreditasi merupakan salah satu syarat bagi PPT memperbaharui kelulusan program daripada KPT.

    Dalam waktu yang sama, pertimbangan KPT terhadap permohonan kelulusan program berkenaan turut mengambil kira syarat-syarat lain yang ditetapkan di bawah Akta IPTS 555.

  • Siapakah yang terlibat di dalam penilaian Akreditasi MQA dan siapakah yang mengesahkan hasil penilaian tersebut?

    Bagi memenuhi standard antarabangsa, penilaian MQA melibatkan panel pakar dalam bidang program pengajian. Laporan yang disediakan oleh panel pakar akan diselaras oleh seorang pengerusi panel. Laporan yang telah dimuktamadkan kemudiannya akan dibentangkan di Mesyuarat Jawatankuasa Akreditasi (MJA) untuk memuktamadkan keputusan akreditasi.

    Penilaian akreditasi bagi program professional adalah dijalankan oleh badan professional yang berkenaan.

  • Sekiranya permohonan Akreditasi ditolak, bolehkah rayuan dibuat?

    Boleh. PPT boleh membuat rayuan secara bertulis kepada YB Menteri Pengajian Tinggi dalam tempoh 30 hari dari tarikh surat keputusan akreditasi diterima.

    Bagi program profesional pula, PPT boleh membuat rayuan secara bertulis kepada Jawatankuasa Rayuan dalam tempoh 30 hari dari tarikh surat keputusan akreditasi diterima.

  • Bagaimana hendak menyemak senarai program pengajian yang telah mendapat Akreditasi MQA?

    Semakan program pengajian yang telah diakredit MQA boleh dibuat secara atas talian di Daftar Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Register, MQR).

    Semakan boleh dirujuk di sini.

  • Berapa lamakah tempoh sah laku Akreditasi MQA?

    Tempoh sah laku bagi program pengajian dan kelayakan yang diakredit di bawah Akta MQA 2007 (berkuat kuasa pada 1 November 2007) adalah bersifat "berterusan" (perpetual) bermula daripada tarikh program tersebut diakredit.

    Sekiranya akreditasi sesuatu program ditarik balik, tarikh penamatan akan dinyatakan dalam MQR. Tempoh sah laku bagi program profesional adalah ditentukan oleh badan profesional yang berkenaan.

  • Apakah perbezaan antara Akreditasi dan Pengiktirafan?

    Akreditasi merupakan satu bentuk pengesahan kualiti terhadap sesuatu program pengajian berdasarkan kepada standard-standard akademik.

    Pengikitirafan pula bermaksud penerimaan satu-satu kelayakan oleh pihak-pihak tertentu bagi tujuan tertentu. Tujuan ini boleh dalam bentuk pengambilan pekerja, pemberian bantuan-bantuan pendidikan, peluang melanjutkan pengajian, amalan professional dan sebagainya. Adalah menjadi kelaziman akreditasi MQA menjadi salah satu perkara yang diambil kira oleh pihak-pihak ini. Contoh-contoh pengiktirafan dengan tujuan khusus adalah seperti berikut:

    1. Pengiktirafan bagi menyertai perkhidmatan awam oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)
    2. Pengekalan kelulusan terhadap program oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
    3. Peluang mendapatkan pinjaman pengajian yang dikendalikan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)

  • Adakah pihak MQA menjalankan penilaian ke atas Pemberi Pengajian Tinggi (PPT) di luar negara?

    Operasi penilaian akreditasi MQA masih tertumpu kepada program pengajian di Malaysia. Kebanyakan negara telah mempunyai badan-badan jaminan kualiti mereka sendiri dan sebarang maklumat berkaitan kualiti pengajian tinggi negara terbabit boleh dirujuk kepada badan-badan ini.

  • Apakah yang terjadi kepada Akreditasi yang diberikan semasa LAN?

    Program yang telah mendapat Akreditasi di bawah LAN adalah terpakai dalam beberapa keadaan berikut:

    1. Program-program yang ditawarkan masih berstatus akreditasi sehingga tamat tempoh sah laku yang ditetapkan.
    2. Graduan-graduan yang dikeluarkan dalam tempoh sah laku akreditasi tersebut dianggap sebagai graduan akreditasi walaupun kemudiannya program tersebut tidak lagi dijalankan atau akreditasinya telah tamat.
  • MALAYSIAN QUALIFICATIONS AGENCY
    Tingkat 14B, Menara PKNS-PJ,
    17, Jalan Yong Shook Lin,
    46050 Petaling Jaya,
    Selangor Darul Ehsan

    +603 - 7968 7002
    (webadmin[at]mqa.gov.my)

www.mqa.gov.my